170 asnaf terima sumbangan Maliia Bakery simbol muhibah – Ketua Menteri

Admin
d2c42c84 6b09 447b a100 7fb39a6c5d93 KETUA Menteri (berdiri, depan, tiga dari kanan) dengan diiringi oleh G. Mariadas (berdiri, depan, dua dari kanan) serta barisan pemimpin komuniti setempat lain menyampaikan sumbangan duit raya dan bantuan bakul makanan kepada salah seorang asnaf terpilih di perkarangan hadapan Maliaa Bakery, Jalan Transfer di sini pada 28 Mac 2024.

GEORGE TOWN – Seramai 170 asnaf sekitar bandar raya George Town masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM100 dan barang bantuan keperluan dapur daripada syarikat pengeluar roti, Maliia Bakery dekat Jalan Transfer pada 28 Mac 2024.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji pihak Mallia Bakery kerana sejak 18 tahun lepas secara konsisten menganjurkan majlis pemberian duit raya dan sumbangan bantuan bakul makanan kepada golongan terpilih berkenaan.

“Majlis sumbangan zakat pada hari ini membuktikan semangat muhibah yang telah lama tersulam dalam masyarakat Pulau Pinang yang meraikan golongan-golongan yang lebih memerlukan pada setiap kali menjelang musim perayaan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memaklumkan bahawa saban tahun sejak 2009, jumlah kutipan zakat di negeri Pulau Pinang adalah meningkat.

Sebagai contoh, beliau memberitahu bahawa jumlah kutipan zakat oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) meningkat kepada RM159.7 juta pada tahun 2023 berbanding iaitu RM150.14 juta pada tahun 2022.

“Saya amat berbangga kerana statistik tersebut membuktikan bahawa ramai rakyat muslim di Pulau Pinang merupakan golongan yang amanah dan menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam dalam usaha memperkasakan golongan yang lebih memerlukan.

“Statistik ini sekali gus membuktikan bahawa syiar Islam sentiasa terpelihara di Pulau Pinang walaupun negeri ini tidak pernah lekang daripada tuduhan politik sejak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008,” ujarnya.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee dan Pengarah Maliia Bakery Sdn. Bhd., Datuk G. Mariadas turut sertai majlis meraikan golongan asnaf berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD