Agenda pembangunan infrastruktur, ekonomi akan terus diratakan demi kesejahteraan rakyat

Admin
8eba959e 5d56 456b b080 cc333186689e KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian Dewan MPKK Perwira dan Majlis Sambutan Aidilfitri di sini pada 28 April 2024.

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri hari ini akan terus berusaha meratakan agenda pembangunan infrastruktur dan ekonomi demi kesejahteraan semua lapisan rakyat di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Komuniti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perwira dan Sambutan Hari Raya Aidil Aidilfitri di Simpang Ampat dekat sini pada 28 April 2024.

“Saya berharap agar dewan komuniti ini dapat menjadi titik permulaan sebagai pusat untuk masyarakat berkumpul menjalankan aktiviti kemasyarakatan sebelum lebih banyak pusat kemasyarakatan yang akan dibina pada suatu hari nanti,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

f05db99d dc3c 4ebe 986c 0e62592df0de
SUASANA muhibah sekalian hadirin pelbagai kaum di Majlis Sambutan Aidilfitri yang dianjurkan oleh MPKK Perwira di sini pada petang tadi.
d7cbc041 c217 4117 9caf 88408d1f6782
ACARA gimik perasmian Dewan MPKK Perwira yang baharu.

Di samping itu, beliau berkata bahawa pentadbirannya mengambil maklum mengenai hasrat ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung serta barisan pemimpin MPKK Perwira untuk mewujudkan sebuah gelanggang bola keranjang berbumbung di sini.

“Tetapi, memandangkan peruntukan (berkaitan) adalah terhad, kita (Kerajaan Negeri) ada mencadangkan pelaksanaan projek (gelanggang bola keranjang) ini secara berfasa.

“Kalau menyambungkan dewan ini ke hadapan, menjadi suatu keutamaan yang lebih tinggi, mungkin kita (Kerajaan Negeri) boleh pertimbang untuk mengalihkan apa yang kita rancang di gelangang, untuk melakukan penyambungan pada tahun ini juga,” ujarnya sebagai respons kepada ucapan Pengerusi MPKK Perwira, Ong Huai Hooi.

Sebagai Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi, Kon Yeow memberitahu bahawa beliau komited untuk meningkatkan tahap keselamatan, daya huni serta keselesaan rakyat dalam kawasan perumahan di seluruh negeri ini, selari dengan yang telah dirangkakan dalam Visi Penang2030.

“(Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri hari ini) adalah bertepatan dengan Tema D iaitu ‘melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan’ menerusi inisiatif strategik D1 (Visi Penang2030), iaitu ‘menyeimbangkan pembangunan melalui perancangan kegunaan ruang yang efektif’,” ulasnya.

Menganggap penyediaan dewan komuniti MPKK Perwira di sini sebagai ‘suatu permulaan’, Kon Yeow berharap pelbagai kemudahan lain seperti pusat-pusat kegiatan rakyat dan ‘Gymnasium Rakyat’ dapat diwujudkan di sini pada masa hadapan.

“Saya berharap, dengan keterlibatan MPKK Perwira yang sangat aktif dengan mendapat sokongan daripada pihak ADUN setempat serta Ahli-Ahli Majlis (bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP), kawasan ini mampu menjadi lokasi yang paling tepat untuk penempatan pusat-pusat kegiatan belia serta Gimnasium Rakyat yang mampu dimanfaatkan oleh rakyat daripada pelbagai lapisan usia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memuji inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lions Club Bagan serta Hsiao-Leung atas sumbangan Automated External Defibrillator (AED) sebagai kelengkapan sokongan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di dewan komuniti tersebut.

0ef7e40a a5cc 4823 907e e857b49b01ca
GOOI Hsiao-Leung

Berucap sebelum itu, Hsiao-Leung merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana memenuhi jemputan pihak penganjur iaitu MPKK Perwira ke dwi majlis di sini.

Hadir sama, dua Ahli Majlis MBSP, Anuar Yusoff dan Rachel Teh.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS