Azam juara di litar lumba, insuran – Abd. Hafiz

HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Itulah peribahasa yang tuntas untuk menceritakan kegigihan anak muda ini mengubah masa depannya.

Abd. Hafiz Abd. Majid, 28, bukan nama asing terutama dalam dunia lumba motosikal cub prix.
Tahu tidak tahu, anak kelahiran Kampung Alor Merah dekat Butterworth ini pernah mengisi podium tempat pertama dalam Kejohanan Terbuka Lumba Motosikal Cub Prix Kategori Individu pada tahun 2010.

Beliau turut menjuarai kejuaraan serupa di Batu Kawan pada tahun yang sama, sekaligus mengharumkan nama Pulau Pinang di peringkat nasional.

Dalam satu wawancara bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB, Abd. Hafiz berkata beliau mempunyai alasan tersendiri untuk tidak terus memburu kejuaraan dalam sukan profesional itu.

“Ini hobi. Saya menghabiskan lebih RM30,000 untuk hobi ini sebelum dipinang untuk membawa nama Modenas dari tahun 2008 hingga tahun 2010.

“Dibawah Pengurus Khairullisa Ramli, saya berlatih (untuk) perlumbaan profesional sejak tahun 2006 dan pernah mewakili Honda pada tahun 2007, dengan dapat tempat ketiga.

“Sukan motor memerlukan stamina dan senaman serta disiplin yang tinggi, tetapi, saya dihambat oleh masa yang begitu sibuk sebab kerjaya saya sebagai agen insuran.

“Sekarang saya tidak lagi ‘main’ di litar, tapi, hobi ini tak pernah padam,” ujar Abd. Hafiz baru-baru ini.

‘Juara Insuran’

Abd. Hafiz berkata, menjadi ejen insuran pun perlu pecut seperti tunggang motosikal di litar jika mahu memburu kejuaraan serupa.

“Dua tahun saya jadi budak pejabat dan timba pengalaman berbekalkan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Pada tahun 2007, saya memberanikan diri membuka syarikat insuran (milikan) 100 peratus Bumiputera, dengan isteri saya sendiri menjadi kerani (untuk) membantu saya semasa itu,” jelas Abd. Hafiz.

Selama enam bulan pertama, DFZ Agency yang ditubuhkan oleh Abd. Hafiz itu mula berkembang dengan 11 orang kakitangan.

Kini, syarikat itu mempunyai tiga cawangan sekitar Butterworth, iaitu di Sungai Puyu, Sungai Dua dan Tasek Gelugor.

“DFZ Agency menawarkan harga paling rendah berbanding syarikat insuran lain, tetapi, dengan (polisi) kadar perlindungan yang sama.

“Lima jenis insuran untuk dipilih, iaitu AXA, America International Group (AIG), Kurnia dan Allianz serta Tune sebagai syarikat yang baru diambil alih oleh Pengurus Besar Air Asia, Tony Fernandes.

“Tawaran perkhidmatan A hingga Z, iaitu dari penyediaan polisi perkhidmatan hingga urus tuntutan atau selesaikan saman tertunggak dengan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) umpamanya dalam masa paling cepat seperti yang dijanjikan dengan pelanggan,” jelas beliau.

Pengiktirafan

Percaya tidak percaya, syarikat milik Abd. Hafiz berjaya berbuat produktiviti insuran sebanyak RM7.4 juta pada tahun 2009.

Kejayaan itu melayakkan Abd. Hafiz diiktiraf sebagai syarikat insuran terbaik peringkat Utara Semenanjung Malaysia.

Pada tahun 2011, Abd. Hafiz diiktiraf sebagai agen insuran terbaik Pulau Pinang oleh AXA.

Tahun berikutnya, Abd. Hafiz diiktiraf sebagai pemberi produktiviti tambahan 100 peratus berbanding tahun sebelumnya untuk syarikat insuran Kurnia dan AXA walaupun suasana ekonomi kurang menggalakkan semasa itu.

Cabaran

Abd. Hafiz ketawa apabila diminta berkongsi cabaran dengan pembaca Buletin Mutiara.

Beliau berkata, di litar lumba dan ‘litar insuran’, cabaran tetap wujud walaupun berbeza.

“Risiko paling besar, ada pelanggan buat cukai jalan (roadtax) dengan deposit RM50, tapi sampai kesudah tidak datang ambil cukai jalan dengan membuat baki pembayaran RM450 umpamanya.

“Dengan RM50, pelanggan ini boleh berdalih cukai jalannya hilang dan cetak semula di JPJ.

“Tipu ini selalunya kenalan rapat, pelanggan yang kenal kita selalunya tidak berani tipu.

“Perniagaan insuran ini, keuntungan tidak besar dan kita terpaksa menanggung kos operasi syarikat yang agak besar untuk kekal perkhidmatan terbaik untuk pelanggan.

“Kita akan tetap beri perkhidmatan terbaik walaupun ada sedikit perubahan pada sistem JPJ umpamanya kerana pelanggan tidak mahu tahu semua kesulitan ini. Yang penting, urusan siap cepat urusan mereka,” jelas beliau.

Rahsia kejayaan

Percepatkan serta permudahkan urusan pelanggan adalah antara identiti khidmat pelanggan yang cuba ditonjolkan oleh Abd. Hafiz.

“Amalan kerja di sini pun macam komando, selagi kerja hari yang sama tidak selesai, mereka tidak akan balik walaupun terpaksa lewat sampai ke malam.

“Contoh piagam pelanggan kita untuk buat cukai jalan umpamanya, yang datang pagi boleh dapat petang hari sama juga.

Yang datang petang, boleh dapat cukai jalan lewat petang sama juga.”

“Saya buat kunci pencapaian utama (KPI) hingga saya dan pekerja lain biasa habis serba urusan hari yang sama sebelum jam 6 petang.

“Pengalaman kerja dari bawah sebagai budak pejabat membolehkan kita buat piagam pelanggan ini,” nyatanya.

Harapan

Abd. Hafiz secara peribadi berharap beliau boleh membawa Ahli korporat terkemuka dunia, Tony Fernandes ke Pulau Pinang untuk saling melengkapi idea massa depan negeri ini.

“Kedudukan saya dengan insuran Tune ini, saya berharap dapat bawa Tony Fernandes ke Pulau Pinang untuk membincangkan prospek sektor perkhidmatan di negeri ini.

“Saya berharap suatu kerjasama peniagaan boleh direalisasikan ke arah membawa pengalaman Tony Fernandes ke negeri ini nanti,” jelas beliau.