Cabar diri berjalan atas laluan berkaca Rainbow Skywalk

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN

DIJANGKA dibuka Disember ini! Satu lagi tarikan terbaru di Komtar bakal muncul – Rainbow Skywalk@The TOP.

Merupakan sebahagian daripada The TOP (yang disiarkan pada keluaran sebelum ini), Rainbow Skywalk@The TOP (Rainbow Skywalk) merupakan laluan gantung berlantai kaca terpanjang di Malaysia yang dibina pada ketinggian 244.6 meter dari aras laut atau Tingkat 68 menara Komtar.

Sebagai anak jati Penang, yang lahir dan membesar di sini, banyak pembangunan yang penulis lihat.

Merentasi abad, negeri ini telah mengalami transformasi dan tampil dengan daya tarikan baru bagi menyemarakkan kedatangan pelancong ke sini.

Kalau sebelum ini anda pernah ke The Shore Sky Melaka, saya yakin Rainbow Skywalk menjanjikan lebih tarikan.

Terletak di tengah-tengah bandaraya George Town, laluan gantung tersebut turut dilengkapi sebuah dek pemandangan 360 darjah.

Berukuran 16 meter panjang dan berdiameter 5.5 meter, Rainbow Skywalk pastinya menjanjikan suatu pengalaman menarik buat mereka yang berani dan sukakan cabaran.

Malah, penulis yang sedaya mungkin cuba mengelak menjejakkan kaki ke tempattempat tinggi ekoran fobia kepada ketinggian atau lebih dikenali, acrophobia, namun, rasa ingin mencuba membuak-buak apabila melihat rakan sekerja bersahaja berjalan di laluan berkenaan pada sesi lawatan khas yang diatur ini.

Ternyata dah cuba sekali, hilang rasa takut dan gayat, malah seronok pula seperti berjalan di atas udara.

Mana tidaknya, penulis dapat melihat kenderaan yang lalu-lalang di bawah, rakamkan gambar sebanyak mungkin dan lebih menarik apabila dapat melihat taman tema, Jurassic Research Center di The TOP yang kini dalam proses untuk disiapkan.

Amat sesuai untuk mereka yang suka berselfie, sekiranya bertuah, para pengunjung dapat merakamkan suasana matahari terbenam.

Malah, turut kelihatan, pemandangan sebahagian tanah besar Seberang Perai. Nantikan pembukaannya, cabar diri anda!