Dana UNESCO, Masjid Kapitan Keling sasar baiki bumbung secepat mungkin

Admin
1a539da3 a50d 4cf3 b1d0 b91dc9d09f70

SEBAGAI bangunan warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Kategori 1, baru-baru ini pihak pengurusan Masjid Kapitan Keling telah menerima dana bernilai RM200,000 bagi tujuan pembaikan dan pemuliharaan bangunan tersebut.

Dana daripada pihak UNESCO disampaikan oleh George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dalam satu majlis rasmi yang diadakan dekat Komtar pada 29 April lalu.

Susulan itu, penulis Buletin Mutiara WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama jurugambar, SIEW CHIA EN sempat menemu ramah Pengerusi Masjid Kapitan Keling, Dato’ Faruk Raja Mohamed inisiatif pihak pengurusan dalam menambah baik masjid ikonik itu melalui dana tersebut.

 

51f5a4dd b8b3 4dff 8d7d 279a61a8911d

Faruk menyifatkan dana berjumlah RM200,000 itu hadir tepat pada masanya berikutan berlaku kerosakan pada struktur bumbung masjid sehingga menyebabkan rasa kurang selesa dalam kalangan jemaah.

“Makin lama kerosakan makin bertambah, banyak bahagian bumbung masjid ini yang bocor yang mana saya difahamkan sekarang ada sembilan tempat yang bocor.

“Kalau hujan lebat berterusan hingga 45 minit memang air akan turun sehingga ke dewan solat utama, jadi itu sudah pasti akan mendatangkan ketidakselesaan kepada jemaah.

340f79a0 5398 40e7 811a 791bb0beaab3

“Kakitangan masjid terpaksa menadah dengan baldi atau menggulung karpet untuk mengelakkan daripada basah dan rosak,” ujar Faruk ketika menerima kunjungan Buletin Mutiara seusai solat Jumaat hari ini.

765829f8 9e70 4e64 81e4 f9fec0b196a5

Setiausaha Masjid Kapitan Keling, MOHAMED RIZWAN ABDUL GHAFOOR KHAN turut mengiringi Faruk dalam sesi temu bual ini.

Jelas Faruk, ini merupakan kali kedua Masjid Kapitan Keling menerima dana daripada UNESCO setelah kali pertama pada 15 tahun lepas.

a7045852 91dd 47da 8512 de1b401e2c33

“Perolehan kali pertama digunakan untuk memperbaiki kubah masjid pada ketika itu oleh kontraktor daripada Australia.

“Individu penting di sebalik kelulusan dana ini tidak lain tidak bukan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang menyuruh pihak pengurusan membuat surat permohonan kepada GTWHI ketika diajukan permasalahan bumbung tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Faruk optimis bahawa perbincangan lanjut dengan pihak kotraktor untuk mencari solusi terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi akan selesai pada penghunjung Mei ini.

 

75d9ed87 2fa0 4a35 a529 13549d0ad913

“Ini merupakan salah sebuah majlis ikonik di Pulau Pinang, jadi sepanjang kerja-kerja dijalankan kelak kita mahu minimumkan gangguan kepada jemaah yang mengerjakan solat atau aktiviti lain.

“Kita perlu bincang dengan kontraktor bagaimana kita mahu lakukan pembaikan ini dengan lancar tanpa ada gangguan yang besar.

“Selain itu, bangunan warisan Kategori 1 ini juga perlu dibaiki dengan berhati-hati sebab bahan yang digunakan mempunyai spesifikasi tersendiri, contohnya ia menggunakan pasir laut, bumbung daripada tanah liat untuk serap haba bahkan didatangkan khas daripada Kerala, India dan ini adalah bumbung asli.

“Sebelum ini pun pernah kami ketuk-ketuk simen di masjid ini jumpa kulit siput di dalamnya, ini salah satu bukti bahawa struktur masjid ini dibina menggunakan pasir pantai juga,” maklum Faruk yang turut memberitahu kos sebenar untuk membaik pulih adalah sekitar RM395,000.

Faruk berkata, Masjid Kapitan Keling sebelum ini juga pernah diserang masalah anai-anai, namun pihak pengurusan masjid telah mengambil langkah awal sebelum isu tersebut menjadi lebih besar.

“Bab bumbung ini juga meliputi hal keselamatan yang perlu kita titik beratkan, lagi pun sekiranya anda perasan kalau tengok dari luar, bumbung masjid ini warnanya sudah tidak sekata lagi.

“Lepas kerja-kerja pembaikan diharap ia turut mengembalikan keindahan Masjid Kapitan Keling sebagai salah satu identiti kepada bandar raya George Town,” maklum beliau lagi.

Difahamkan, untuk meningkatkan lagi fungsi masjid, bangunan baharu juga sedang dirancang untuk didirikan di kawasan sekitar bagi menggantikan binaan lama.

Walau bagaimanapun, Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa bangunan di kawasan masjid itu bukanlah berstatus warisan tetapi masih memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa kerana dibimbangi menggugat status warisan Kategori 1.

“Projek tersebut perlukan kelulusan Jabatan Warisan Negara, walaupun bukan ‘heritage’ tetapi ia berada di kawasan warisan.

“Kita bercadang mewujudkan dewan serba guna, perpustakaan Islam, bilik kuliah, tahfiz dan aspek-aspek lain yang menjadi keperluan semasa bagi jemaah di sini,” katanya menutup bicara.

Sebelum pulang, Faruk turut membawa Buletin Mutiara melawat ke kawasan-kawasan yang mengalami kerosakan pada struktur bumbung dan siling yang agak kritikal di masjid itu