Elak berulang, Unit Anti Litter MBPP bakal kenakan tindakan tegas terhadap ‘kutu sampah’

whatsapp image 2024 04 17 at 14.37.31

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) secara proaktif menggerakkan Unit Anti Litter ke kawasan tumpuan ramai terutama ketika cuti hujung minggu dan cuti perayaan dalam usaha memberi kefahaman dan pendidikan awam kepada umum supaya tidak membuang sampah di merata-rata termasuk memantau aspek kebersihan dan keselamatan.

 

Ahli Majlisnya, TAN SOO SIANG ketika dihubungi berkata, sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Songkran baru-baru ini, misalnya, seramai 20 petugas dari Unit Anti Litter telah ditugaskan di kawasan pantai Batu Ferringhi.

01a1d5e4 cb3f 483c 9eeb d5745a57a75d
TAN Soo Siang.

“Cuti perayaan yang panjang telah menyebabkan jumlah pengunjung di kawasan pelancongan pantai itu bertambah dengan mendadak hingga mencecah lebih 3,000 orang dan ini termasuk juga jumlah sampah.

 

“Sungguh mengecewakan apabila kawasan yang sebelum ini bersih menjadi umpama tempat pelupusan sampah meskipun MBPP telah menyediakan lebih banyak tong sampah di kawasan tersebut.

 

“Walaupun dengan adanya petugas (Unit Anti Litter dan pembersihan) serta disediakan tong-tong sampah, masih terdapat segelintir pengunjung yang membuang sampah merata-rata,” ujarnya.

2b3ef77e 2ecb 4c29 9d2c 5749211b4737
KEADAAN di pantai Batu Ferringhi baru-baru ini ketika cuti panjang perayaan.

Mengulas lanjut, Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam itu berkata lagi, walaupun Unit Anti Litter hanya bertindak menasihati pengunjung dan tidak mengeluarkan saman semasa musim perayaan, namun sikap segelintir pengunjung yang tidak menjaga kebersihan persekitaran telah menjejaskan pemandangan.

 

Petugas kebersihan MBPP juga terpaksa bekerja keras di celah-celah orang ramai untuk membersihkan kawasan tersebut.

 

“(Dan) untuk mengelakkan kejadian sama berulang, MBPP bercadang untuk mengenakan saman secara terus pada masa hadapan,” katanya yang percaya bahawa tindakan penguatkuasaan merupakan pendekatan yang wajar setelah banyak papan tanda larangan membuang sampah diletakkan di kawasan-kawasan tumpuan.

 

Jelas Soo Siang, operasi anti litter (atau anti-sampah) digerakkan dengan tujuan untuk menyampaikan pendidikan kesihatan awam dan nasihat kepada pengunjung yang beriadah di lokasi tumpuan agar membuang sisa makanan serta minuman di tong-tong sampah yang disediakan.

 

“Tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar harus dipikul bersama agar keceriaan dan keindahan persekitaran dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” serunya.

whatsapp image 2024 04 17 at 14.50.21
PAPAN pemberitahuan ditempatkan di kawasan tumpuan sekitar George Town jelas tertera jumlah denda yang dikenakan jika disabitkan kesalahan membuang sampah di merata-rata tempat.

Perkara itu turut dipersetujui oleh rakan sepenjawatan, ROHAIZAT HAMID setelah melihat keadaan selepas musim perayaan yang mana terdapat banyak sampah-sarap di bahu-bahu jalan di kawasan George Town dan juga kawasan pantai Batu Ferringhi.

whatsapp image 2024 04 17 at 14.41.36
ROHAIZAT Hamid.

“Sebelum Hari Raya baru-baru ini, Unit Anti Litter MBPP telah melakukan dua operasi penguatkuasaan, masing-masing di Gurney Bay dan Padang Kota Lama.

 

Walaupun keadaan di kedua-dua lokasi ini bertambah baik, namun masih ada ‘kutu sampah’ yang ingkar selepas diberikan nasihat dan ini memaksa tindakan penguatkuasaan diambil.

 

“Perbuatan membuang sampah secara sembarangan ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, termasuk tindakan mahkamah.

 

“Tindakan ini juga melibatkan mana-mana individu yang didapati bersalah membuang sisa makanan merata-rata serta memberi makanan kepada burung atau haiwan lain,” tegasnya.

 

Bercakap mengenai tahap kesedaran awam, Rohaizat berkata, rata-rata warga negeri telah sedia maklum dan cakna tentang penguatkuasaan membabitkan salah laku membuang sampah secara semberono.

 

“Hanya segelintir yang masih degil dan Unit Anti Litter akan terus mengadakan pemantauan serta memberi amaran sebelum kompaun dikeluarkan bagi kesalahan berulang,” tambah Pengerusi Gantian Jawatankuasa Kecil Jabatan Perkhidmatan Perbandaran itu ketika bercakap melalui panggilan telefon pada pagi ini.

ad8f81af 51e2 4793 92be 2b91d3fe3fec
MENUGASKAN ‘pickers’ di kawasan tumpuan ramai merupakan antara usaha yang diambil.

Ulasnya lagi, MBPP turut mengambil inisiatif menempatkan 27 unit tong sampah tambahan di pantai Batu Ferringhi dan enam unit di Lorong Burma. Selain itu, di kawasan hotspot lain, pembersihan secara ‘pickers‘ dilakukan setiap hari.

 

Difahamkan, sepanjang Januari 2024 sehingga 19 Mac lalu, sebanyak 93 notis kompaun kesalahan ‘anti litter’ dikeluarkan berserta lima kompaun membabitkan individu yang memberi sisa makanan kepada burung merpati.

 

Sementara itu, Ahli Majlis, QUAH BOON LIM mendedahkan bahawa sejak dua minggu lalu, semasa operasi rondaan dan penguatkuasaan, terdapat tiga individu ‘ditangkap’ memberi makanan kepada burung merpati secara haram.

 

Tindakan memberi makanan kepada burung merpati boleh menjejaskan tahap kebersihan dan kesihatan awam serta menyebabkan kacau ganggu kepada pejalan kaki mahupun penduduk di kawasan terbabit.

 

“Tidak hanya itu, sisa makanan yang terbiar juga meninggalkan bau busuk dan mengundang haiwan perosak lain seperti tikus, lipas serta haiwan berbahaya seperti monyet dan sebagainya.

whatsapp image 2024 04 17 at 14.43.51
QUAH Boon Lim.

“Malah, ia juga akan menimbulkan lebih banyak masalah kesihatan dan merosakkan harta awam, oleh itu, kompaun akan dikenakan juga terhadap mereka yang memberi makanan atau sisa makanan kepada burung merpati atau haiwan lain seperti kucing dan anjing,” jelasnya.

 

Boon Lim menegaskan, bagi setiap kesalahan membuang sampah di merata-rata, MBPP akan mengeluarkan kompaun berjumlah RM500.

 

“Tiada diskaun diberikan jika melibatkan kesalahan membuang sampah di merata-rata dan sejak Januari tahun ini sehingga semalam (16 April), MBPP menerima 171 aduan berhubung pemberian makanan kepada burung merpati,” katanya.

 

Berdasarkan data yang dikongsi MBPP terdahulu, sebanyak 6,606 burung merpati telah ditangkap pada 2023 berbanding 5,020 (ekor) pada tahun 2022.

  whatsapp image 2024 04 17 at 14.47.51 (1) whatsapp image 2024 04 17 at 14.47.51  whatsapp image 2024 04 17 at 14.47.52

ANTARA foto yang sempat dirakam oleh lensa Buletin Mutiara pada 17 April 2024.

Selain itu, terdapat 28 lokasi panas telah dikenal pasti sebagai tempat hurungan burung merpati antaranya di hadapan kuil di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah; Terminal Bas Rapid Komtar; berdekatan Tune Hotel di Jalan Burma; taman permainan di Medan Renong; hentian bas bertentangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor (Lelaki), Jalan Air Itam dan Lorong Kulit.

 

Lokasi lain termasuklah kawasan lapang bersebelahan Kompleks Bukit Jambul; flat berhampiran Lorong Hijau 8; Jalan Penang off Lebuh Chulia; kuil berdekatan Jalan Kelawei; Medan Penaga; Jalan Van Praagh; Little India; Jalan Bukit Penara; Lintang Pantai Jerejak; Tingkat Bukit Jambul’ Lebuh Relau 1; Lorong Rumbia 2; Lilitan Sungai Ara dan Lorong Mahsuri 7.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING & MBPP