IC: Ketua Menteri respons kenyataan Guan Eng, laporan The Star

Admin
4a89fcff a760 4742 9fed 5e789888f607 KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

GEORGE TOWN – Tiadanya Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) seperti di negeri Selangor, bukan bermakna di Pulau Pinang tidak ada langsung syarikat berkaitan IC.

Penjelasan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow itu bukan sahaja memperbetulkan pelaporan portal berita The Star, malah sekali gus menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng semalam.

“Semalam pun, saya telah menegaskan semula (bahawa) kita (Kerajaan Negeri) mengakui tidak ada suatu taman IC yang khas di Pulau Pinang, namun ini tidak bermakna kita tidak ada firma-firma berkaitan IC di Pulau Pinang.

“Memang ada beberapa firma IC yang mana YB Lim (Guan Eng) sendiri menamakan (syarikat) mereka akan berhijrah ke Selangor, maksudnya telah ada (firma berkaitan IC) di Pulau Pinang.

“(Selain itu,) ingin diperjelaskan bahawa saya tidak mengatakan kita (negeri Pulau Pinang) tidak memerlukan taman IC, seperti yang dilaporkan dalam The Star,” jelasnya dalam sidang media berkaitan seusai menyertai Majlis Jamuan Tengah Hari Amal Aidilfitri di sini pada 28 April 2024.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor hadir sama dalam majlis amal anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kor Konsulat Kehormat Malaysia tersebut.

Menjawab soalan pemberita lagi, Kon Yeow juga berkata bahawa pentadbirannya mengalu-alukan hasrat Guan Eng untuk berbincang mengenai cadangan mewujudkan taman IC serta menarik pelaburan berkaitan ke Pulau Pinang.

“Pulau Pinang akan terus berusaha menarik pelaburan termasuk reka bentuk IC (kerana) memang rangkaian semikonduktor ini amat luas dan besar serta ada banyak sektor-sektor kecil dalam rangkaian ini.

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang akan meneruskan pelbagai pelaburan untuk melengkapkan ekosistem dan rantaian permintaan (dalam ekonomi negeri), termasuk reka bentuk IC tetapi bukan reka bentuk IC semata-mata.

“Sehubungan itu, saya menyahut cadangan untuk berbincang dengan Saudara Lim (Guan Eng) berhubung isu Taman Pemacu Industri Semikonduktor dan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) di negeri Pulau Pinang,” ujarnya sambil menyatakan komitmen untuk mengaturkan pertemuan berkaitan bersama-sama Guan Eng serta melibatkan dua agensi negeri iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Invest Penang (IP).

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan yang akan dilancarkan pada bulan Mei ini.

“(Di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan,) saya dengar ada rancangan untuk mengkhususkan negeri-negeri pada sektor-sektor ‘kecil’ berkenaan supaya tidak perlu bersaing antara pihak negeri, tetapi lihat sektor ini dalam konteks negara (iaitu) yang perlu bersaingan negara negara-negara paling penting.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan lihat apakah peranan yang akan ditugaskan kepada negeri Pulau Pinang (memandangkan) saya percaya bahawa Pulau Pinang mempunyai ekosistem (pelaburan dan industri) yang lengkap di negara ini ,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Terdahulu, Perdana Menteri Ke-10 Malaysia semasa KL20 Summit 2024 pada 24 April lepas antara lain mengumumkan penubuhan taman IC di bawah kelolaan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC).

Empat syarikat sebagai rakan strategik iaitu Arm Holdings yang dimiliki oleh Softbank, Shenzen Semiconductor Industry Association, syarikat reka bentuk litar bersepadu Pulau Pinang iaitu SkyeChip Sdn Bhd dan juga syarikat Malaysia AI Storage (Mai Storage) atau Phison akan memacu projek baharu tersebut di Selangor.

Sementara di Pulau Pinang, Kon Yeow pula mengumumkan bahawa firma pemodal pelaburan, Blue Chip Venture Capital (BCVC) dalam proses membawa tiga syarikat semikonduktor dari Republik Rakyat China, iaitu China Wafer Level CSP Co. (WLCSP), Ningbo SJ Electronic Co. (SJE) dan Wuxi AMTE Inc. (AMTE) akan ke Pulau Pinang dengan nilai pelaburan kira-kira 100 juta Dolar Amerika Syarikat (USD).

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa berkata BCVC yang berpangkalan di Pulau Pinang, juga merupakan salah sebuah rakan kongsi dana global utama bagi Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu SIDEC.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR