Jeruk Pak Ali berkembang hasil keberkatan dan prinsip niaga tanpa hutang

Admin
ANEKA jeruk boleh didapati di kiosk Jeruk Madu Pak Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
ANEKA jeruk boleh didapati di kiosk Jeruk Madu Pak Ali di
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

JERUK Madu Pak Ali baru-baru ini dipilih menerima Anugerah Usahawan Terbaik FAMA Pulau Pinang 2012 dalam temasya Hari Peladang, Penternak, Nelayan dan Karnival Koperasi 2012 di Tapak Ekspo Seberang Jaya. Ikuti wawancara ekslusif wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB dengan Pengurus Besarnya, ALIAS ALI (AA).

BM : Bolehkah Tuan jelaskan serba sedikit mengenai Jeruk Madu Pak Ali ini?

AA : Mula-mula (sejak 1985) dulu, buat (proses jeruk) di bekalang rumah. Satu masa, timbul hasrat untuk komersial jeruk, iaitu sejak lima tahun lalu sebab tak ada lagi jeruk Pulau Pinang dipasar keluar.

Saya dapat nasihat daripada PERDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang), MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani). Teknologi pun, kita guna teknologi MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) sebab persepsi orang sebelum ini adalah makan jeruk ini bahaya dan tak sihat. Maka, kita proses jeruk ini sebagai makanan yang sihat sampai berjaya dapat Sijil Halal daripada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

Jeruk Madu Pak Ali ini merupakan satu-satunya jeruk Pulau Pinang yang mendapat Sijil Halal di Malaysia.

BM : Bagaimana pula dengan sejarah perkembangan Jeruk Pak Ali ini?

AA : Dari proses di rumah secara kecil-kecilan, sekarang kita sudah ada sebuah kilang di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan. Kita cuba bantu peladang menyelesaikan masalah lambakan buah-buahan dengan industri inovatif ini. Dari buah muda yang berharga RM3 sekilogram jika diproses boleh menjadi jeruk berkualiti mencecah harga RM30. Inovasi juga boleh menjadikan jeruk ini imej Pulau Pinang.

Di kilang, buah-buah ini boleh dipotong menggunakan mesin, tetapi kita potong menggunakan tangan untuk memberi peluang pekerjaan secara kontrak kepada lebih 30 ‘pakcik makcik’ dan belia tempatan dengan gaji lebih RM1,000.

Selain kiosk di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, lebih 20 kiosk dibuka di seluruh tanah air. Jeruk Madu Pak Ali ini telahpun menembusi pasaran pasar raya ManMa di Ireland. Malah, kita juga menerima permintaan dari Madinah dan terbaru dari Tonto, Mesir. Korea Selatan juga berminat dengan jeruk ini untuk tujuan perpindahan teknologi.

Saya pun tidak sangka, prospek jeruk ini sampai ke antarabangsa kerana asalnya saya berniaga kecil-kecilan di rumah dengan modal dari ayah (Ali Omar) RM15 sahaja. Dari 30 kilogram sehari dahulu, sekarang kita memproses lebih 30 tan sebulan. Lebih 20 jenis buah diproses ikut piawaian halal.

ALIAS Ali ketika ditemubual wartawan BM.
ALIAS Ali ketika ditemubual wartawan BM.

BM : Apakah keistimewaan Jeruk Madu Pak Ali ini?

AA : Kalau jeruk dari Indonesia dan Filipina, ianya masin, Jeruk Madu Pak Ali ini diminati kerana manis serta dijamin selamat untuk dimakan.

Istimewa Jeruk Madu Pak Ali ini antaranya kita masak air gulanya, tidak seperti kebanyakan jeruk dalam pasaran. Kita guna gula pasir, bukan ibu gula. Ketiga, kita guna cuka epal kerana ia sihat dan baik untuk kulit. Keempat, kita masukkan madu lebah sampai air jeruk ini sihat dan selamat untuk diminum. Nak dapat (Sijil) Halal bukan mudah, perlu ikut piawaian MARDI. Kalau makan jeruk di luar boleh gatal dan geli kerengkong, kita (Jeruk Madu Pak Ali) tidak.

Tidak ada apa-apa rahsia lain. Kalau saya dipanggil untuk berkongsi ilmu mengenai Jeruk Madu Pak Ali, semua ini juga yang akan saya cerita.

Yang penting, ada keberkatan. Ayah (Ali Osman yang lebih dikenali sebagai Pak Ali) suruh saya ambil beberapa masjid dan surau untuk dijadikan ‘masjid dan surau angkat’. Bayar bil elektrik dan air sebab air wudhu mereka dan solat mereka adalah keberkatan kita (Jeruk Madu Pak Ali) dalam berniaga.

Satu lagi, ayah larang berhutang dalam berniaga. Dia sendiri minta kilang gula jangan bekal gula kepada saya kalau saya tiada (wang) tunai. Sebab itu, berniagamemang perlu mula dari kecil-kecilan dan ia akan berkembang dengan keberkatan serta tanpa hutang.

BM : Selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Terbaik FAMA Pulau Pinang 2012, apakah perasaan Tuan?

AA : Saya, ayah dan seluruh kakitangan Jeruk Madu Pak Ali rasa terharulah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Terbaik FAMA Pulau Pinang 2012 baru-baru ini.

Anugerah ini mengingatkan saya pada pengiktirafan tahun lalu (2011) apabila Jeruk Madu Pak Ali ini menerima anugerah Usahawan Ikon Bumiputera Pulau Pinang dan Usahawan Industri Asas Tani Pulau Pinang daripada ICU JPM.

Pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri ini sangat bermakna serta cukup memberi semangat untuk menjadikan Jeruk Madu Pak Ali ini sebagai ikon Pulau Pinang dan ikon Malaysia di persada dunia satu hari nanti.

BM : Menjadikan Jeruk Madu Pak Ali ini sebagai imej Pulau Pinang mungkin menjadi harapan Tuan?

AA : Jeruk ini adalah imej Pulau Pinang sebab itu mana-mana Pak Menteri atau pelancong asing yang datang bertandang di kiosk (Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang) ini, saya akan kata ini ‘Jeruk Penang’.

Kalau sekarang, penumpang kapal terbang ada yang dibekal kacang. Suatu hari nanti, kita harap Jeruk Pak Ali ini akan dibekal dalam semua kapal terbang dan terbang ke seluruh dunia.

Kita sedang bina muzium jeruk berdekatan kilang kita di Simpang Empat. Kita nak orang tahu bahawa keunikan makanan jeruk ini sudah wujud beratus tahun dalam masyarakat kita.

ALIAS Ali (berkopiah) menunjukkan jeruk buah pala berkualiti yang diawet dengan cuka epal
ALIAS Ali
(berkopiah)
menunjukkan
jeruk buah
pala berkualiti
yang diawet
dengan cuka
epal