Keadaan di negeri Pulau Pinang adalah aman serta terkawal, kata Ketua Polis Pulau Pinang

Admin
whatsapp image 2024 05 02 at 13.21.56

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, Datuk Hamzah Ahmad di Komtar sebentar tadi.

Hadir mengiringi ialah Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin yang juga baru dilantik pada 15 April lalu bersama-sama Ketua Cawangan Khas Negeri, Senior Asisten Komisioner (SAC), Winston Tan Thye Wah.

Dalam pertemuan hampir 30 minit tersebut, antara yang dibincangkan adalah berhubung persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lawatan Perdana Menteri ke Pulau Pinang pada hujung minggu ini; isu penarafan ibu pejabat polis di Sungai Dua yang masih dijalankan dan lain-lain berkaitan.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan bahawa secara keseluruhan, keadaan di negeri Pulau Pinang adalah aman serta terkawal, dan pihaknya akan meneruskan khidmat bakti serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Malah, beliau juga sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membendung sebarang bentuk jenayah di negeri ini.

Pada masa sama, Kon Yeow mengalu-alukan jalinan kerjasama antara PDRM Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Difahamkan, Hamzah yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam Bukit Aman menggantikan Datuk Khaw Kok Chin yang dilantik sebagai Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.

Manakala, Mohd. Alwi menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang ditukarkan ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Siasatan / Perundangan di Jabatan Siasatan Jenayah.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING