Kepelbagaian, sikap saling menghormati aset penting bagi Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin
img 20240418 wa0077

BERTAM – Kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Dewan Millenium dekat Kepala Batas bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Yang Di-pertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Noor merupakan tetamu kehormat pada majlis tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Yang Di-pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; barisan Exco Kerajaan Negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa antara dif-dif kehormat yang hadir.

Kon Yeow semasa berucap berkata bahawa sambutan Aidilfitri terbukti mampu membawa makna yang signifikan bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada masyarakat majmuk di negeri ini.

“Meraikan kepelbagaian dan menghormati perbezaan adalah aset terpenting masyarakat kita.

“Oleh itu, sempena Hari Raya ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat di Pulau Pinang bersama-sama mengukuhkan semangat kebersamaan, saling menghormati serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Semoga di kesempatan ini, kita dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim dan memperteguh lagi komitmen kita untuk hidup bersama secara harmoni,” katanya pada majlis berkaitan sebentar tadi di sini.

img 20240418 wa0075

img 20240418 wa0089

img 20240418 wa0065

Menyentuh mengenai pengembangan syiar Islam di Pulau Pinang, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menjaga kehormatan institusi agama Islam selain memastikan kesejahteraan dan kesepaduan dalam masyarakat secara menyeluruh.

“Ini termasuklah menyediakan pelbagai inisiatif serta perkhidmatan untuk memenuhi keperluan umat Islam dalam aspek pendidikan, ekonomi dan juga sosial.

“Malah, Kerajaan Negeri juga memberi penekanan yang tinggi terhadap pemeliharaan serta pemuliharaan institusi-institusi keagamaan seperti masjid, surau dan juga sekolah Islam melalui peruntukan RM10.18 juta pada tahun ini,” ujarnya.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa usaha mengembangkan pendidikan di institusi agama juga akan diteruskan dengan kerja-kerja pembinaan dan baik pulih bangunan sekolah agama dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7.4 juta pada tahun 2024.

“Pembaikan serta naik taraf sekolah agama ini juga tidak hanya meningkatkan kualiti pendidikan khususnya dalam aliran agama Islam, malah juga berupaya untuk memperkukuh nilai-nilai keagamaan dan identiti dalam kalangan anak-anak muda,” ujarnya.

Tambah beliau, di samping pembangunan sosial, Kerajaan Negeri juga memastikan pembangunan ekonomi turut berkembang dengan mampan demi kesejahteraan rakyat.

“Dengan status Pulau Pinang sebagai penyumbang terbesar eksport kepada jumlah dagangan negara, pembangunan infrastruktur adalah sangat penting bagi memastikan negeri ini terus berkembang.

“Antaranya adalah projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dengan jumlah peruntukan lebih RM1 bilion.

“Sukacita dimaklumkan bahawa tender pra-kelayakan telah diiklankan pada 8 Mac lalu dan kerja-kerja pembinaan dijangkakan akan bermula pada suku ketiga tahun ini,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat di negeri ini untuk memeriahkan Program MADANI Rakyat Zon Utara yang akan berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Mei 2024.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI