Ketua Menteri puji kejayaan Stay Fit Sunnah Sports Club, 17 pendaki tawan Gunung Kinabalu

Admin
19345730 3dbd 4e7c a873 3162aabff63e KETUA Menteri merakamkam gambar kenangan bersama-sama peserta Stay Fit Sunnah Sports Club semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini pada 30 April 2024.

GEORGE TOWN – Kejayaan 17 pendaki di bawah pimpinan ketua ekspedisi merangkap Pengerusi Stay Fit Sunnah Sports Club, Ahmed Faisal Mohd. Lazim menawan puncak Gunung Kinabalu serta direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sewajarnya menjadi inspirasi kepada semua penduduk Pulau Pinang untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

542fea46 e82e 4338 9fe3 6e214bd05cb7
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap pada acara perasmian Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Stay Fit Sunnah Sports Club di Dewan Persatuan Muslim Bersatu Pulau Pinang (UMA) dekat sini pada 30 April 2024.

“Saya percaya kemuncak kepada kejayaan Stay Fit Sunnah Sports Club adalah berjaya membawa ahli-ahli menawan Gunung Kinabalu pada tahun lepas.

“Saya percaya program sedemikian akan terus dianjurkan (oleh pertubuhan bukan kerajaan, NGO berkenaan) yang mana pengalaman mendaki Gunung Kinabalu ini akan dibawa dalam menghadapi cabaran hidup,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan terus memakmurkan ekonomi negeri serta menarik pelabur ke Pulau Pinang sungguhpun negeri ini mempunyai sumber semula jadi yang terhad.

“Harapan saya adalah semua hadirin di sini serta seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bersabar bersama Kerajaan Negeri dalam usaha mencapai lebih banyak lagi kejayaan terutamanya ketika ini Pulau Pinang sedang menjalankan projek-projek mega malah, Projek Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang kini telah mencapai lebih daripada 50 peratus sehingga siap sepenuhnya sebelum dibuka kepada umum,” ujarnya.

d32f3ee1 58b6 4a65 a4e1 c52e011a0fd8
AHMED Faisal Mohd. Lazim

Berucap sebelum itu, Ahmed Faisal memberitahu bahawa 17 pendaki yang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu bersama-sama NGO, Stay Fit Sunnah Sports Club kerana mereka mempunyai disiplin dalam meningkatkan stamina masing-masing sepanjang sesi latihan.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penyertaan rakyat terutama penduduk Pulau Pinang untuk dilatih bagi cadangan ekspedisi menawan Gunung Kinabalu pada masa akan datang.

Hadir sama, wakil kepada Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Timbalan Pengerusi Stay Fit Sunnah Sports Club, Mohamed Basir bin Haja Mydin dan Ketua Pegawai Eksekutif MDI Fortune, Mohamad Ashraf.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NUR ATIKAH RAHMAT