Ketua Menteri zahir penghargaan kepada semua pihak jayakan program tanam satu juta pokok dalam sehari

Admin
img 20240422 wa0011

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha menjayakan program penanaman satu juta pokok sehari sempena Hari Bumi 2024 hari ini.

Beliau berkata, penganjuran program tersebut adalah penting demi memastikan bumi sentiasa sihat dan terjaga seterusnya menjadi tempat untuk manusia, haiwan dan lain-lain meneruskan kehidupan.

“Saya bersyukur kerana Pulau Pinang berjaya menggoncang Malaysia melalui pelaksanaan program menanam satu juta pokok dalam masa sehari.

“Walaupun program ini kelihatan tidak mungkin untuk dilaksanakan, namun berkat usaha semua pihak terutamanya Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang telah mencadangkan inisiatif ini, maka akhirnya ia dapat direalisasikan.

img 20240422 wa0004

img 20240422 wa0003

img 20240422 wa0005

img 20240422 wa0009

“Oleh itu, saya ucapkan terima kasih kepada seluruh penduduk Pulau Pinang, agensi-agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan, para penaja dan barisan sukarelawan yang sanggup melapangkan masa untuk menjayakan inisiatif ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Penanaman 150,000 Pokok Peringkat Parlimen Batu Kawan dekat Peacock Eco Park di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai merangkap Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; ADUN Sungai Puyu, Pee Syn Tze serta ramai lagi.

Kon Yeow berkata, agenda hijau sering diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri memandangkan Pulau Pinang mempunyai dasar Hijau, Bersih, Sihat dan Selamat sejak sekian lama.

“Saya percaya apa yang kita lakukan hari ini, akhirnya akan memberi manfaat bukan sahaja kepada generasi hari ini tetapi juga dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Justeru, saya berharap agar usaha ini akan membantu kita mencapai matlamat Visi Penang2030 dan berusaha sebaik mungkin supaya apa yang kita rancangkan hari ini akan membuahkan hasil,” serunya lagi.

Difahamkan, penanaman 150,000 batang pokok peringkat Parlimen Batu Kawan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai merupakan salah satu usaha yang dijalankan sempena Program Penanaman Satu Juta Pokok di Pulau Pinang sempena sambutan Hari Bumi pada hari ini iaitu 22 April.

Sementara itu, Sundarajoo menyatakan bahawa jumlah pokok yang ditanam di KADUN Perai merangkumi 15 peratus daripada jumlah sasaran pokok yang akan ditanam pada hari ini.

“Jenis pokok yang ditanam ialah Kelapa Air dan Limau Kasturi yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.

“Ini merupakan satu sejarah kerana dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang, anak-anak pokok ini akan tumbuh menjadi pokok matang dan Pulau Pinang akan mempunyai satu juta pokok,” katanya sambil berharap agar program tersebut berjaya mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI