KK Bayan Lepas dinaik taraf akhir tahun, beri keselesaan kepada pesakit

Admin
58fb3d7b 07c3 4e6b 978d 8397ce960041

BAYAN LEPAS – Projek menaik taraf Klinik Kesihatan (KK) Bayan Lepas akan bermula menjelang akhir tahun ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz.

5b736e5e c8a3 4f7b 931a cfd1ecb8ca8f
AZRUL Mahathir Aziz

Menurut Azrul Mahathir, projek menaik taraf itu kini masih dalam proses rundingan reka bentuk melibatkan pembesaran premis bagi menampung kapasiti pesakit sehingga 800 pesakit sehari.

“Penarafan KK Bayan Lepas ini telahpun mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan yang mana akan membawa perubahan yang signifikan kepada penduduk di sini.

“Projek ini juga akan memberi akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada masyarakat komuniti setempat,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di sini pada 17 April 2024.

Mengulas lanjut, Azrul Mahathir memaklumkan bahawa selain meningkatkan kapasiti di KK Bayan Lepas, aspek tempat letak kereta juga akan diperluaskan.

“Ini bagi menampung lebih ramai pesakit yang datang berubat.

“Langkah ini akan membantu mengurangkan kesesakan di klinik yang selalu penuh sesak dengan lebih dari 500 orang yang datang untuk mendapatkan rawatan setiap hari,” katanya yang juga percaya bahawa projek tersebut bakal memberi keselesaan kepada pesakit.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang turut memberitahu bahawa klinik baharu di Relau akan dibuka pada 22 April 2024.

“Pembukaan klinik tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.

“Klinik tersebut juga memiliki kapasiti untuk menerima sehingga 300 pesakit dalam masa sehari.

“(Dan) ini menandakan bahawa komitmen Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan infrastruktur kesihatan tempatan sentiasa diberi perhatian,” jelasnya.

Oleh : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar : AHMAD ADIL MOHAMMAD