Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sekali lagi memutuskan akhbar perdana, Utusan Malaysia (Utusan) bersalah kerana menfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang melalui artikel berita, “DEB: Guan Eng tetap berdegil” yang disiarkan pada 15 Mac 2008. Kali pertama Utusan kalah saman fitnah pada 15 Disember tahun lepas, iaitu mengenai rencana bertajuk “Kebiadaban Guan Eng” yang disiarkan pada 20 Disember 2010.
Pesuruhjaya Kehakiman, Normala Salim semasa membuat ketetapan berkata, beliau bersetuju dengan penghujahan pihak pendakwaan, iaitu Utusan mempunyai “niat jahat” terhadap Guan Eng.
“Mahkamah berpendapat, ada niat jahat oleh pihak defenden dengan menggunakan perkataan ‘menghapuskan’ DEB (Dasar Ekonomi Baru),” ujar beliau.
Beliau berkata, perkataan “membebaskan DEB” yang diucapkan oleh Guan Eng adalah jelas tidak membawa maksud “menghapuskan DEB”.
Malah, katanya, saksi pihak pembelaan sendiri sebelum ini mengakui bahawa penggunaan perkataan “menghapuskan DEB” adalah kesimpulan peribadi wartawan Utusan sendiri.
Justeru, Utusan diarahkan membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 serta RM20,000 kos kehakiman kepada Guan Eng.
Guan Eng diwakili oleh peguam, Jagdeep Singh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, manakala, Utusan diwakili oleh peguam, Mohana Kumar.
Guan Eng pada satu kenyataan media di luar kamar perbicaraan berkata, beliau berharap Utusan serta media arus perdana milik UMNO yang lain mengambil iktibar.
“Kemenangan ini adalah satu ‘perwakilan simbolik’ bukan sahaja pada diri saya, tetapi kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang turut difitnah sebelum ini,” ujarnya.
Jagdeep pula berkata, Utusan diharap dapat menghormati ketetapan yang dibuat oleh mahkamah.
Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng, Abdul Malik Abul Kassim, Danny Law Heng Kiang, Wong Hon Wai, Lidya Ong Kok Fooi dan Law Choo Kiang antara Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang hadir pada bicara akhir kes tersebut.