Latihan simulasi TTX pastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan, agensi hadapi bencana

Admin
img 20240508 wa0045

BAYAN LEPAS – Latihan simulasi menghadapi bencana adalah penting dalam memastikan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan agensi terlibat.

 

img 20240508 wa0032
ABDUL Kahar Abdullah ketika berucap merasmikan Table Top Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Industri Negeri Pulau Pinang 2024 di sini.

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Abdul Kahar Abdullah berkata demikian ketika hadir menyempurnakan perasmian program Table Top Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Industri Negeri Pulau Pinang 2024 di sini hari ini.

 

 

Menurut Abdul Kahar, latihan simulasi TTX seperti yang diadakan ini adalah penting dalam meningkatkan kefahaman semua jabatan dan agensi berkaitan mengenai prosedur operasi standard pengurusan bencana.

 

 

Melalui penganjuran latihan sebegini, pihak-pihak yang terlibat akan lebih memahami koordinasi dan penyelarasan semasa bencana.

 

 

“Malah, (latihan simulasi TTX ini juga) meningkatkan komunikasi semua agensi dalam mengawal dan mengurus (bencana),” ujarnya.

 

img 20240508 wa0026
SESI pembentangan berhubung peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menghadapi bencana.

 

Pada kesempatan itu juga, Abdul Kahar menzahirkan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku moderator latihan simulasi TTX.

 

 

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Seksyen Operasi NADMA, Mulliadi Al-Hamdi Ladin memberitahu bahawa Pulau Pinang merupakan antara negeri yang proaktif menganjurkan program dan latihan berkaitan pengurusan bencana.

 

 

Program dan latihan sebegini membuka ruang serta peluang untuk semua pihak memahami mekanisme dan peranan masing-masing ketika berlakunya sesuatu bencana.

 

 

“Secara tidak langsung, semua pihak akan tahu peranan masing-masing berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

 

img 20240508 wa0042
SESI perkongsian prosedur operasi standard oleh wakil Petronas.

 

Program kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan NADMA dihadiri seramai 110 peserta daripada 42 jabatan dan agensi terlibat termasuk empat wakil badan bukan kerajaan (NGO) daripada Malaysian Medical Relief Society (Mercy Malaysia), Malaysian Relief Agency (MRA), Crest Malaysia dan Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang.

 

 

Antara yang terlibat adalah Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Wilayah Utara), Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Penang Port Sdn. Bhd., Petronas Dagangan Berhad, Toray Plastic (M) Sdn. Bhd., Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penerangan Negeri, Jabatan Kerja Raya dan beberapa jabatan serta agensi negeri yang lain.

 

img 20240508 wa0043
SETIAP peserta yang mewakili agensi dan pasukan keselamatan dibahagikan mengikut bidang tugas masing-masing.

 

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN