Majlis amal Aidilfitri rai anak yatim anjuran Kor Konsulat Kehormat Malaysia

Admin
6dd43415 e68e 4d9e 91e4 e9ea06c42afa KETUA Menteri (kiri sekali) iringi Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kiri) dan isteri menyampaikan duit raya dan beg hadiah kepada sekalian anak yatim yang menyertai Majlis Jamuan Tengah Hari Amal Aidilfitri anjuran Kor Konsulat Kehormat Malaysia di St Giles Wembley Penang hotel pada 28 April 2024.

GEORGE TOWN – Kor Konsulat Kehormat Malaysia buat julung kalinya menganjurkan Majlis Jamuan Tengah Hari Amal Aidilfitri dengan meraikan lebih 100 anak yatim dari empat institusi terpilih di sini sebentar tadi.

Antara institusi khas tersebut adalah Children Protection Society, Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, Wisma Yatim Laki-Laki Islam Pulau Pinang dan Penang Shan Children’ Home.

1b9169ea c11a 4e98 9a8d dc2823c303ca
TURUT dilangsungkan acara nyanyian lagu puja umur serta memotong kek sempena ulang tahun kelahiran Toh Puan Khadijah Mohd. Nor di sini tadi.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor dengan diiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta isteri, Puan Tan Lean Kee hadir menyerikan majlis amal tersebut.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff dan Konsul Jeneral Republik Indonesia, Wanton Saragih Sidauruk serta isteri, Sintha Wanton antara kenamaan yang hadir.

6d933405 e297 467a 8809 2fdd6ea76087
ABDUL Rafique Abdul Karim

Pengerusinya, Dato’ Seri Dr. Abdul Rafique Abdul Karim merakamkan penghargaan atas kesudian Tun Ahmad Fuzi serta isteri, Kon Yeow serta isteri dan sekalian tetamu yang menyertai majlis amal anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Dikir barat, nyanyian lagu tradisional Aidilfitri dan muzikal kebudayaan antara persembahan pentas yang menarik di sini.

Dengan diiringi Kon Yeow serta isteri dan Abdul Rafique, Tun Ahmad Fuzi serta isteri turut berkenan menyampaikan duit raya dan beg hadiah kepada anak-anak yatim berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SIEW CHIA EN