MBPP sasar 100 sekolah sertai pertandingan Anugerah Sekolah Hijau tahun ini

Admin
whatsapp image 2024 04 16 at 10.34.19

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyasarkan sekurang-kurangnya 100 buah sekolah di bahagian pulau mengambil bahagian dalam pertandingan Anugerah Sekolah Hijau pada tahun ini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata sehingga kini pihaknya telah menerima penyertaan daripada 19 buah sekolah sejak pendaftaran dibuka pada 15 Mac 2024.

“Tarikh akhir bagi sekolah-sekolah untuk mendaftar dalam anugerah ini adalah pada 31 Julai 2024 manakala sesi pengauditan bagi peringkat pulau akan bermula pada bulan Ogos sehingga September ini.

whatsapp image 2024 04 16 at 10.34.29

whatsapp image 2024 04 16 at 10.34.30 (1) whatsapp image 2024 04 16 at 10.34.30 whatsapp image 2024 04 16 at 10.34.29 (1)

“Sekolah-sekolah yang menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga akan mewakili kita untuk menyertai pertandingan Anugerah Sekolah Hijau peringkat negeri,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran pertandingan tersebut dekat Komtar di sini pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; wakil pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Fauzi Ilias; Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Josephine Tan Mei Ling; Penasihat Malaysia Nature Society Pulau Pinang, K. Kanda serta ramai lagi.

Rajendran berkata, pertandingan Anugerah Sekolah Hijau berjaya menjadi platform yang amat penting bagi pelajar sekolah untuk meningkatkan kesedaran terhadap cintakan alam sekitar.

“MBPP percaya bahawa pendedahan sikap menjaga alam sekitar perlu bermula awal.

“Oleh itu, melalui penyertaan dalam pertandingan ini, pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dapat memperlajari kaedah pengasingan sisa di punca dan kitar semula yang betul serta cara mencegah pencemaran alam sekitar,” katanya.

Difahamkan, Anugerah Sekolah Hijau pada tahun ini menawarkan lima hadiah utama masing-masing bagi sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, empat hadiah bagi anugerah khas turut ditawarkan iaitu Kitar Semua, Kebersihan dan Penghijauan, Inovasi dan Kreativiti serta Penglibatan Secara Digital di samping sebuah sekolah berpeluang memenangi kategori Laporan Video Terbaik.

Dalam perkembangan berkaitan, Rajendran memaklumkan bahawa MBPP akan menanam 150,000 batang pokok dalam masa sehari sempena Hari Bumi yang bakal berlangsung pada 22 April ini.

“Saya berharap dengan penanaman pokok berskala besar ini dapat membantu dalam penurunan haba di sekitar bandar kita,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT