Mengapa UMNO tak masuk tender terbuka Bayan Mutiara? – Guan Eng

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Pembangkang Pulau Pinang dinasihatkan supaya menghentikan fitnah ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai penjualan 102.6 ekar tanah di Bayan Mutiara kepada pemaju Ivory Properties Group Berhad (Ivory).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, UMNO negeri sewajarnya tidak menyalahkan Kerajaan Negeri kerana menjual tanah tersebut kepada Ivory, sebaliknya, mereka wajar menawarkan harga belian yang jauh lebih tinggi dari harga ditawarkan pemaju berkenaan.

“Sekiranya UMNO cakap harga penjualan RM240 sekaki persegi adalah rendah sangat dan harga yang lebih tinggi boleh diperoleh, mengapakah syarikat kroni UMNO tidak masuk tender membida tanah tersebut?” nyata beliau di dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri menerima harga paling tinggi yang ditawarkan oleh Ivory, iaitu RM240 sekaki persegi yang mesti dibayar dalam tempoh lima tahun menjadi keseluruhan bayaran RM1.07 bilion.

“Penjualan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu merangkumi 67.6 ekar tanah dan 35 ekar tanah tambakan laut. Kos tambakan laut ditanggung sendiri oleh pemaju, Ivory.

“Penjualan tanah dibuat secara tender terbuka menerusi Request for Proposal (RFP) serta diiklankan dalam akhbar pada dua tahun lepas,’’ ujarnya.

Beliau turut menyangkal dakwaan pembangkang kononnya pemaju bebas untuk tidak membina rumah mampu milik di atas tanah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemaju masih terikat dengan syarat ditetapkan Majlis Parbandaran Pulau Pinang (MPPP) seperti membina sejumlah tertentu rumah mampu milik, surau serta keperluan-keperluan awam lain dalam satu-satu projek pembinaan.

“ Kerajaan negeri telah menggunakan keuntungan daripada penjualan tanah ini sebanyak RM500 juta sebagai Tabung Rumah Mampu Milik. Pembinaan lebih 12,000 unit rumah mampu milik di Batu Kawan daripada dana RM500 juta ini adalah atas inisiatif Kerajaan Negeri sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan pemaju di Bayan Mutiara. Pemaju tersebut masih terikat dengan syarat rumah mampu milik tetapi di kawasan pulau,’’ jelas Guan Eng.