Pelan Kontingensi Air PBAPP diteruskan sehingga paras air ‘pulih’, respons Ketua Menteri

Admin
2d581687 8f0f 4b4e 85cd 9e7769fa6855 KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan seusai berucap dalam Karnival Raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid di Sekolah Kebangsaan Jalan Residensi di sini pada 14 April 2024.

GEORGE TOWN – Taburan hujan semasa dalam bulan April ini adalah sebanyak 20.5 milimeter (mm) sahaja serta mengakibatkan paras air di Empangan Air Itam pada hari ini menyusut pada 30.8 peratus.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan meneruskan pelan kontingensi air berkaitan sehingga paras air di Empangan Air Itam kembali berada ‘sekurang-kurangnya’ 32 peratus.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, paras air semasa di Empangan Air Itam ‘jatuh’ juga adalah disebabkan permintaan air yang tinggi dalam musim perayaan selama tujuh hari kebelakangan ini.

“Saya telah berhubung dengan PBAPP yang mana Pelan Kontingensi Air (sempena musim perayaan Aidilfitri) ini kekal (dilaksanakan) iaitu mulai 14 April (hari ini).

“Kita (Kerajaan Negeri melalui PBAPP) akan menyambung (pelaksanaan Pelan Kontingensi Air Hari Raya Aidilfitri 2024 PBAPP) yang telah kita lakukan sebelum ini untuk mengekalkan paras air di Empangan Air Itam.

“Jadi, Pelan Kontingensi Air Itam akan diteruskan sehingga kita capai suatu kadar paras air yang lebih selesa,” jelasnya kepada pemberita seusai berucap dalam Karnival Raya Aidilfitri Parlimen Bukit Bendera di sini sebentar tadi (14 April 2024).

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang juga tuan rumah penganjuran acara karnival tersebut, turut serta sidang media ringkas itu.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow menyatakan bahawa paras air di Empangan Air Itam akan kembali meningkat sekiranya taburan hujan yang begitu lebat dalam sehari dua ini berlaku di kawasan tadahan dekat empangan itu.

“Kita perlu tahu bahawa air hujan yang turun itu perlu turun di dalam kawasan tadahan air (dekat Empangan Air Itam).

“Kalau hujun turun begitu lebat dekat Jalan Residensi sehingga banjir pun, ia tidak akan membantu meningkatkan paras air di Empangan Air Itam (kembali ke paras efektif),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa taburan hujan sekitar kawasan tadahan adalah di luar kawalan pihak berwajib sungguhpun pihak berwajib boleh merancang untuk melaksanakan operasi pembenihan awan semasa musim panas dan kemarau kini.

“Nampaknya (taburan) hujan yang kita (Pulau Pinang) terima dalam bulan April ini hanya 22.5mm (sungguhpun) lazimnya adalah 300mm dalam sebulan secara purata,” katanya.

Berhubung kapasiti efektif air di sesebuah empangan, Kon Yeow menyatakan bahawa ia direkodkan sebagai tahap waspada pertama jika menyusut pada 50 peratus, tahap kedua (40 peratus), manakala tahap ketiga (30 peratus dan ke bawah).

“(30.8 peratus paras air Empangan Mengkuang) boleh bertahan dalam 30 hari… paras air Empangan Air Itam ‘turun’ sebab kita (PBAPP) nak bekalkan lebih banyak air (semasa musim perayaan),” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan dalam satu kenyataan bertulis pada 9 April lepas antara lain mengumumkan pelaksanaan Pelan Kontingensi Air Hari Raya Aidilfitri 2024 dengan jangkaan penggunaan air yang tinggi sebelum dan semasa musim perayaan, panas serta kering.

Langkah cegah rintang itu, menurut beliau adalah dengan mengambil kira penggunaan air yang direkodkan pada bulan Februari lepas adalah tinggi berjumlah 927 JLH, iaitu 50 JLH lebih tinggi berbanding purata tahunan 877 JLH untuk tahun 2023.

“Langkah siap siaga untuk mengelak atau meminimumkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN