Peniaga sokong projek naik taraf Kompleks Makanan Taman Tun Sardon, harap nilai warisan dikekalkan

Admin

BARU-BARU ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan RM3.3 juta bagi projek membina semula Kompleks Makanan Taman Tun Sardon demi suasana selesa para pengunjung serta peniaga di sini.

Difahamkan, projek berkaitan dijangka akan diusahakan menjelang Ogos tahun ini, dan mengambil masa 15 hingga 18 bulan untuk disiapkan.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL berkesempatan membuat tinjauan lapangan serta mendapatkan maklum balas lanjut daripada peniaga mengenai projek pembaikan dan menaik taraf kompleks makanan tersebut.

Bagi YUSNI IBRAHIM, 47, beliau berpendapat bahawa kerja menaik taraf ini wajar dilaksanakan dek keadaan terkini yang tidak begitu kondusif.

img 1460
YUSNI Ibrahim (tengah) dan keluarga.

“Jika dilihat keadaan kompleks makanan ini agak lama dan sememangnya tidak begitu selesa kerana ruangan tersedia agak sempit bagi peniaga.

“Arwah ayah saya telah berniaga di sini sejak tahun 1980, dan di sini juga la sumber mata pencarian kami sekeluarga, jika kami dipindahkan ke tempat lain untuk berniaga sementara, saya ikutkan sahaja arahan dari pihak berkuasa.

“Diharapkan dengan pembaharuan yang bakal membawa keceriaan di sini menjamin keselesaan bukan sahaja pengunjung, bahkan juga peniaga,” ujarnya yang menjual aneka kuih muih.

img 1461
G. Nageswary.

Menurut peniaga makanan India, G. NAGESWARY, pula berkata, pihaknya bersyukur tidak lama lagi kompleks makanan berkaitan bakal berwajah baru.

“Saya berniaga sudah lebih 30 tahun, pada peringkat awal kompleks makanan ini dibina, belum ada lagi pembahagian lot gerai seperti sekarang ini.

“Kini, mungkin telah tiba masanya untuk (kompleks makanan) ini dinaik taraf semula terutamanya bagi kepentingan pengunjung dan juga peniaga, secara tidak langsung peniaga berupaya menjana ekonomi dengan lebih baik,” katanya yang pernah memenangi Anugerah Gerai Terbaik dalam Kompleks Makanan MBPP 2023.

img 1463
GARY Chin Boon Hoi.

Selain itu, menurut GARY CHIN BOON HOI, 51, beliau lebih suka nilai warisan dan keaslian kompleks makanan tersebut dapat dikekalkan.

“Umum mengetahui Pulau Pinang terkenal dengan unsur warisan yang dipulihara secara berterusan.

“Begitu juga harapan saya untuk kerja menaik taraf pada kali ini, diharapkan pihak MBPP berupaya mengekalkan keaslian reka bentuk kompleks makanan ini tanpa perlu meroboh bangunan.

“Sehubungan itu, saya juga mahu pelancong yang datang dari luar untuk merasai nilai warisan yang diterapkan dalam negeri kita,” jelasnya yang mengambil alih perniagaan ibunya berniaga kuetiau sejak 12 tahun dulu.

ec70bb73 c6ea 4181 b25b 7f97e3b119b3
NASYITAH Nazari.

NASYITAH NAZARI yang merupakan peniaga air minuman pula berkongsi kegusarannya mengenai implikasi projek berkenaan terhadap peniaga dan pengunjung.

“Kami (peniaga) difahamkan akan berpindah sementara di hadapan kawasan masjid yang acap kali sesak dan sukar untuk memarkir kereta.

“Secara tidak langsung, pengunjung akan berasa sukar untuk berhenti membeli dek keadaan yang sesak dan sukar, jika boleh saya berharap agar pihak MBPP boleh memindahkan peniaga ke hadapan kawasan flat di sini,” serunya yang berharap agar lebih ramai pengunjung datang ke kompleks makanan berwajah baru kelak.

0182ab10 cd1b 4163 ad06 235516f5f63f
SITI Fariza Hafaz.

Seorang lagi peniaga, SITI FARIZA HAFAZ, 37, turut berkongsi berita gembira mengenai kerja-kerja menaik taraf yang bakal dilaksanakan.

“Sebelum ini, gerai saya tidak mempunyai pintu belakang, tetapi sejurus membuat rayuan terhadap Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, akhirnya saya telah mendapat keizinan.

“Dalam pada itu, saya turut berpendapat bahawa peruntukan yang tersedia digunakan untuk menaik taraf keadaan kompleks makanan ini secara keseluruhan di samping mengekalkan warisan tempat ini.

“Tidak banyak kompleks makanan yang masih ‘lama’, seperti ini, kebanyakannya sudah berwajah baru, oleh itu diharapkan ruangan baru akan lebih selesa dan boleh memuatkan 800 pengunjung dalam satu-satu masa,” ulasnya lanjut.