Penurunan paras air Sungai Muda, LRA Sungai Dua masih tidak terjejas

Admin
whatsapp image 2024 04 17 at 15.14.33

GEORGE TOWN – Pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua masih tidak terjejas meskipun paras air Sungai Muda menunjukkan trend penurunan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) mengenai risiko gangguan bekalan air susulan penurunan paras air Sungai Muda.

“Setakat ini, kita masih dapat mengekstrak air mentah dari Sungai Muda walaupun pihak SADA ada memaklumkan bahawa terdapat beberapa loji yang terkesan dengan situasi tersebut.

“Ini kerana pam yang digunakan untuk mengekstrak air mentah dipasang agak rendah (dari paras sungai) berbanding pam-pam lain yang mungkin dipasang lebih tinggi, dan ini menyebabkan kita masih mampu mengepam air walaupun paras air Sungai Muda menurun.

“Oleh itu, meskipun loji-loji yang dinyatakan tersebut terjejas, tetapi tidak bermakna loji rawatan air kita juga turut terjejas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran IN Penang bagi edisi ke-100 dekat sini sebentar tadi.

Semalam, SADA menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa paras Sungai Muda yang melibatkan pengoperasian LRA Sungai Petani dan LRA Pinang Tunggal menunjukkan trend penurunan.

Menurut kenyataan itu lagi, keadaan tersebut mungkin menyebabkan pengguna-pengguna di Daerah Kuala Muda mungkin berdepan dengan risiko gangguan bekalan air.

Pada masa sama, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan terus memantau keadaan paras air di Sungai Muda.

“Sungai Muda dikawal oleh dua empangan, jadi saya percaya pihak bertanggungjawab akan memastikan air sentiasa mencukupi untuk tujuan pertanian dan rawatan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD