Persatuan Muslim Kadayanallur memperkasakan masyarakat setempat diiktiraf – Ketua Menteri

8a501414 8113 4f5c acf9 02f04c0e0fcd KETUA Menteri (dua dari kiri) menerima cenderamata yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Muslim Kadayanallur, Muhammad Noor K. Mastan (tiga dari kiri) sebelum berlangsungnya majlis berbuka puasa di sini tadi.

GEORGE TOWN – Persatuan Muslim Kadayanallur merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak bersama-sama Kerajaan Negeri hari ini dalam usaha memperkasakan masyarakat tempatan khususnya komuniti India Muslim di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa (Iftar) Perdana 14445H anjuran Persatuan Muslim Kadayanallur di Jalan A.S. Mansoor dekat sini pada 24 Mac 2024.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa di Pulau Pinang memang mempunyai pelbagai NGO aktif dalam memperkasa rakyat termasuk komuniti India Muslim yang merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

“Saya bersyukur kerana di Pulau Pinang, kita mempunyai pelbagai NGO yang aktif dan lantang bersuara.

“Walau ada kalanya berbeza pendapat dan pendirian, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai perbezaan ini kerana ia secara tidak langsung mampu menerapkan nilai toleransi dalam kalangan masyarakat.

“PMK (Persatuan Muslim Kadayanallur) sudah menjangkau usia lebih 79 tahun, segala visi dan misi akan diwarisi satu generasi ke satu generasi, begitu juga Kerajaan Negeri yang mana saya berharap akan diwariskan dalam keadaan lebih baik dari segi infrastruktur serta tahap kehidupan rakyat kepada generasi akan datang,” jelasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada penganjur atas jemputan ke majlis keramaian tersebut.

Masuk penggal kedua sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus melaksanakan tadbir urus secara adil kepada semua kaum dan agama termasuk agama Islam.

“Hakikatnya, pelbagai usaha, inisiatif dan peruntukan telah disumbangkan demi memperkasakan agama Islam di negeri ini.

“Malah, menerusi Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023, Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan janji-janji antaranya memberikan bantuan ’one-off’ RM1,000 kepada setiap jemaah haji dari golongan B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah),” ujarnya.

Tidak setakat itu sahaja, berdasarkan manifesto sama, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya akan memperuntukkan sejumlah RM60 juta untuk sekolah-sekolah bantuan menjelang tahun 2030; menyalurkan bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian awam (IPTA) dan swasta (IPTS); menyediakan perkhidmatan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40 serta merealisasikan sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke institusi pengajian tinggi terpilih.

“Adalah menjadi keutamaan saya untuk pembangunan sosial dan taraf pendidikan juga bergerak seiring supaya seluruh rakyat Pulau Pinang diperkasakan dalam semua aspek bagi membentuk sebuah masyarakat yang mampan.

“Saya berharap kesemua ibu dan bapa di sini turut memberikan fokus kepada pendidikan anak-anak supaya mereka tidak ketinggalan dalam dunia serba pantas ini,” serunya.

Turut berucap, Presiden PMK, Muhammad Noor K. Mastan.

“Persatuan Muslim Kadayanallur (PMK) akan terus meletakkan keutamaan kepada usaha meninggikan syiar Islam, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi sekalian ahlinya selari dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi memperkasakan lagi komuniti rakyat setempat di sini,” jelasnya.

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng ,Wong Yi Hao , mewakili Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Presiden Liga Muslim, Dato’ Haja Najmudeen Kader dan Presiden Central Muslim Society (CMS), Hassan Othman; Ahli Majlis Benji Ang Ming Quan dan Shafiz bin Rahim Raja  .

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI