Projek tebatan banjir Taman Sentul Jaya berjaya kurangkan kejadian banjir kilat

Admin
img 20240503 wa0043

BUKIT TENGAH – Pelaksanaan pelbagai projek tebatan banjir dan penaiktarafan infrastruktur dekat Taman Sentul Jaya di sini telah berjaya mengurangkan kejadian banjir kilat yang kerap berlaku sebelum ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan projek pembinaan pintu kepak atau flap gate dan pemasangan pam skru dekat Rumah Pam Sentul Jaya di sini.

“Pembinaan pintu kepak di tepi Parit 5 dekat sini yang telah dipasang adalah bagi mengelakkan berlakunya limpahan air ke kawasan perumahan yang mana projek yang menelan kos berjumlah RM200,000 ini telahpun siap.

“Di samping itu, projek pemasangan skru pam dekat Rumah Pam Taman Sentul Jaya yang bernilai RM800,000 juga telah siap sepenuhnya.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Minyak, setakat ini pelaksanaan kedua-dua projek ini telah berjaya mengurangkan kejadian banjir kilat di sini,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika mengadakan lawatan ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Rachel Teh Chuann Yien serta Pengerusi MPKK Bukit Minyak, Chew Chin Ewo.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa selain dua projek berkenaan, Kerajaan Negeri turut melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan di seluruh Taman Sentul serta sebahagian Taman Duku di sini dengan kos berjumlah RM1 juta.

“Selain itu, kita juga laksanakan projek menaik taraf bahu jalan di Taman Duku, Taman Sentul Jaya, Taman Sentul Indah dan Taman Bukit Minyak dengan kos RM600,000 selain RM200,000 diperuntukan bagi pembaikan longkang semua kawasan hitam termasuk Lorong Sentul 5, 6, 12, 15, 16, 17, 19 serta Taman Juru.

“Namun begitu, masih terdapat beberapa lagi projek yang perlu dilaksanakan di sini dan Kerajaan Negeri akan minta MBSP dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk meneliti keperluan seterusnya termasuk pembinaan parit tanah di kawasan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hsiao-Leung merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah melaksanakan pelbagai projek serta menaik taraf insfrastruktur di kawasan MPKK Bukit Minyak yang telah memberi manfaat kepada penduduk di sini.

“Kawasan MPKK Bukit Minyak mempunyai 11 taman perumahan dan dua kampung tradisi merangkumi 2,800 rumah dan lima blok rumah pangsa dengan populasi melebihi 17,000 penduduk.

“Justeru, semua projek yang telah dilaksanakan di sini terutamanya berkaitan dengan tebatan banjir merupakan keperluan asasi penduduk di sini,” ulasnya sambil berharap agar Kerajaan Negeri dapat menaik taraf taman permainan di Taman Sentul Jaya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD