Pulau Pinang tersenarai 10 bandar teratas untuk orang migrasi ke Asia pada 2024

Admin
0611c867 6f41 41f5 851b 9ca22362b4fa

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menduduki tangga keempat dalam senarai bandar teratas untuk orang luar bermigrasi atas dasar peluang pekerjaan, ekonomi, gaya hidup dan sebagainya.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, perkara ini merupakan satu penghormatan kepada Pulau Pinang kerana sekali lagi meletakkan nama negeri di persada antarabangsa sekali gus memperlihat daya tarikannya yang unik.

“Pulau Pinang adalah sebuah bandar yang boleh didiami dengan tumpuan kemasukan pelaburan terutamanya dalam industri semikonduktor, peranti perubatan dan sektor pembuatan melibatkan syarikat dan kilang dari Amerika Syarikat, Eropah, China, Jepun, dan Taiwan.

“Di samping itu, Pulau Pinang mempunyai dua tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Tapak Warisan Dunia George Town dan Rizab Biosfera Bukit Bendera yang menawarkan pengalaman yang kaya dengan seni dan budaya di samping landskap semula jadi yang menakjubkan, menjadikannya sangat menarik kepada orang luar,” katanya.

52997007 4dbe 4c47 9147 c5e1ab2eb523
WONG Hon Wai.

Menurut Hon Wai, selain kepelbagaian bahasa dan budaya, Pulau Pinang juga menawarkan pelbagai jenis restoran masakan antarabangsa, perkhidmatan hospitaliti berkualiti tinggi dan sekolah antarabangsa serta swasta terkemuka, yang kesemuanya merupakan kelebihan untuk menarik pelancong asing.

“Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan pembangunan ekonomi, infrastruktur, pengangkutan, dan aktiviti kebudayaan bagi mempelbagaikan tarikan di negeri Pulau Pinang.

“(Dan), Kerajaan Negeri akan menyasarkan Pulau Pinang sebagai bandar yang sesuai untuk golongan profesional bekerja, aktiviti riadah dan hiburan pada hujung minggu serta bandar yang sesuai untuk didiami keluarga,” ujarnya ketika ditanya mengenai rancangan yang akan diambil untuk menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang.

 

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : SIEW CHIA EN