Pulau Pinang tumpuan global pelaburan semikonduktor

7d232dfe 2806 4c73 9265 9306a69430f0

PANTAI JEREJAK – Pelaburan semikonduktor telah mengukuhkan kedudukan Malaysia pada peringkat akhir rantaian bekalan semikonduktor, terutamanya pemasangan cip, ujian dan pembungkusan (chip assembly, testing & packaging) dengan menguasai 13 peratus bahagian pasaran global dalam bidang-bidang berkenaan.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, ekoran perkembangan tersebut, Pulau Pinang telah menjadi tumpuan global apabila industri semikonduktor Malaysia muncul sebagai kuasa (semikonduktor) baharu di dunia.

“Situasi di atas secara tidak langsung telah menggambarkan keyakinan para pelabur antarabangsa terhadap potensi dan kekuatan Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan yang terbaik dalam negara.

“Keadaan ini juga terbukti kerana Pulau Pinang telah berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan tertinggi dalam negara berjumlah RM71.9 bilion pada tahun 2023.

 

“Nilai pelaburan tersebut yang didorong pelaburan langsung asing (FDI) telah menyumbang sebanyak RM61.7 bilion atau 85.8 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini tengah hari tadi.

2238f276 d8b1 4d83 bf9a b7f3fe44599c

 

Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Ahli Dewan Undagnan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang, Dato’ Roslinda Mohd. Shafie; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar; Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut, Rosli Halim dan Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.

Mengulas mengenai perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri menaruh harapan kepada agensi-agensi seperti PDC, Invest Penang dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) untuk terus memainkan peranan dalam usaha fasiliti pelaburan dalam negeri, termasuk memudahkan golongan pelabur serta pemain industri untuk memulakan penyusunan operasi dalam negeri.

“Selama ini, PDC selaku agensi pembangunan utama Kerajaan Negeri, telah memainkan peranan kritikal untuk menyediakan tapak industri yang mencukupi di bawah Pelan Strategik PDC 2024 – 2028 yang telah dilancarkan baru-baru.

“Ini melibatkan cadangan pengambilan balik tanah berkeluasan 3,000 ekar sama ada di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah atau Seberang Perai Selatan dengan anggaran kos sebanyak RM3 bilion.

“Cadangan pengambilan balik tanah tersebut adalah untuk perancangan pembukaan taman perindustrian baru bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada industri,” ulas Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi.

Ditanya mengenai kenaikan tarif air yang banyak dikongsi di media sosial, Kon Yeow memaklumkan bahawa perkara itu akan dijelaskan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) esok.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : DARWINA MOHD. DAUD