PUSPANITA MBSP kembalikan nostalgia kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri

img 20240325 wa0039

SEBERANG JAYA – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengembalikan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri melalui penganjuran program ‘Mengimbau Nostalgia Hari Raya’ dekat perkarangan Menara Bandaraya MBSP di sini.

Timbalan Pengerusi PUSPANITA MBSP, Noraisyah Hashim berkata, pelbagai juadah tradisional yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dimasak secara bergotong-royong seawal jam 7.30 pagi untuk diedarkan kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Antara menu yang ditampilkan ialah ketupat, lemang, dodol, rendang ayam, kuih loyang, bubur lambuk dan kuih karas yang mana semua juadah ini dimasak secara bergotong-royong melibatkan lebih 160 kakitangan MBSP.

img 20240325 wa0044

img 20240325 wa0040

img 20240325 wa0042

img 20240325 wa0038

 

 

“Idea ini sebenarnya dicetuskan oleh Ahli Majlis MBSP, Puan Norly Mashitah Mohamed Noor, dan hari ini kita realisasikan idea tersebut untuk mengimbau kembali kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri semasa zaman kita masih kanak-kanak.

“Walaupun pertama kali dianjurkan dan dirancang seminggu lalu, alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan semua kakitangan terlibat turut memakain pakaian bertemakan tradisional.

“Justeru, kita berhasrat untuk meneruskan program ini pada tahun-tahun akan datang memandangkan sambutan yang diterima amat baik,” katanya ketika ditemui pada program tersebut sebentar tadi.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Ahli-Ahli Majlis MBSP dan Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Sementara itu, Azhar berkata, selain mengimbau kembali suasana sambutan hari raya era 80-an dan 90-an, penganjuran program tersebut turut menonjolkan semangat kekitaan dalam kalangan kakitangan MBSP yang berbilang kaum.

“Program ini bukan hanya untuk mengembalikan nostalgia sambutan Hari Raya Aidilfitri semata-mata tetapi lebih penting adalah untuk menonjolkan kerjasama, kesepakatan, gotong-royong yang wujud dalam kalangan masyarakat di negara ini tanpa mengira kaum.

“Selain itu, kita juga bangkitkan unsur-unsur tradisional melalui pakaian tradisi, menu-menu yang dimasak dan persembahan yang dikaitkan dengan sambutan Hari Raya,” katanya.

Azhar berkata, turut berlangsung adalah program membeli minyak masak terpakai serta program Careton Bersama Tetra Pak dan Nestle Milo UHT Malaysia.

“Melalui program ini, kita mengumpul kotak minuman yang terpakai untuk dikitar semula termasuk lebihan minyak masak yang digunakan untuk memasak semua juadah hari ini.

“Ini sekali gus dapat menggalakkan orang ramai untuk mengitar semula di sebalik kemeriah sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Ahli Majlis MBSP kerana telah mencetuskan idea tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS