Ramuan segar keistimewaan Laksa Janggus, Balik Pulau

Oleh: YAP LEE YING
Gambar: AHMAD FARHAN MOHAMAD FAUZI & IDZHAM AHMAD

KOMITED dengan tanggungjawab sebagai seorang ibu, Fatimah Saad, 43, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Kak Timah’ mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual laksa berharga 30 sen semangkuk dan air minuman diberikan secara percuma.

Walaupun waktu perniagaannya adalah pada jam 4 petang, setiap hari, beliau bangun seawal 6 pagi untuk masak 2 kilogram ikan sardin bagi dijadikan kuah laksa dan kemudian mandikan dua cahaya mata serta arwah ibu mertuanya yang mengidap penyakit diabetes.

“Dengan penat lelah tersebut, kadang-kadang berniaga hanya dapat sekupang dan kadang-kadang tak laku langsung.

“Memang saya kecewa, tapi di atas suntikan semangat daripada ibu mertua, saya buat juga. Setiap hari, sambil
berniaga, saya jaga dia (ibu mertua) dan anak-anak sehingga perniagaan menampakkan hasil sehingga ke hari ini,’’ kata Kak Timah yang merupakan pemilik Restoran Laksa Pokok Janggus ternama di Kampung Perlis, Balik Pulau.

Kini, setiap hari, Kak Timah perlu masak 200 kg ikan sardin bagi memenuhi permintaan harian pelanggannya. Harga jualan laksa juga telah dipelbagaikan dari RM2.50 hingga RM3.50 bergantung kepada variati dan lauk-pauk sampingan pellbagai citarasa.

Menjelang musim perayaan, laksa Kak Timah turut mendapat tempahan dari Kuala Lumpur dan juga dari serata negeri di Semenanjung Malaysia.

Bagi mengembangkan perniagaannya, Kak Timah berharap dapat mempelopori bidang sejuk beku laksa ciptaannya bagi dipasarkan ke pasaraya-pasaraya tempatan dan juga luar negara. Namun, ekoran keperluan untuk menghadiri kursus yang diwajibkan, Kak Timah terpaksa menangguhkan niat tersebut.

Ini kerana, menurut Kak Timah, sekiranya beliau pergi berkursus, tiada siapa yang akan menggantikannya menyediakan kuah laksa yang dianggap istimewa dan lain daripada yang lain. Tambahan pula, beliau berasa simpati sekiranya terdapat orang awam yang datang dari jauh untuk merasai laksanya tapi tidak kesampaian.

Ketika ditanya mengenai resipi kuah Laksa Janggus, Kak Timah menyatakan bahawa ia langsung tidak berkaitan dengan buah janggus, sebaliknya, resipi kuah laksa beliau pada asalnya adalah daripada ibunya.

“Sejak kecil, saya minat memasak. Apabila Mak masak, saya tengok dan dari situ saya ubahsuai sendiri resipi sedia ada,’’ katanya kepada Buletin Mutiara (BM) sambil menjelaskan bahawa nama restorannya adalah berasal dari pokok-pokok janggus yang banyak terdapat di sekitar kawasan berkenaan.

Dengan bantuan seramai enam pekerja tetap, selain Laksa Janggus, antara sajian yang turut disediakan adalah keow teow thing, pisang serta ubi goreng dan ais batu campur (ABC).

Bagi sebarang tempahan, sila hubungi Kak Timah di talian 012 – 472 8819.

Waktu Perniagaan

  • Setiap hari kecuali Rabu
  • 3.30 petang – 8.00 malam