‘Remajakan’ Komtar, fungsi sebagai pusat pentadbiran, ekonomi dan pelancongan

Admin
cca8a48b 467e 4652 b6c7 92fc0dc5d2cd

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif serta projek naik taraf untuk ‘meremajakan’ semula bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar )yang menjadi simbol keunikan negeri Pulau Pinang sejak sekian lama.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM2.1 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf ‘Komtar Walk’ berhadapan Jalan Dr. Lim Chwee Leong yang dilihat mampu memberikan nilai tambah dan meningkatkan potensi bangunan ikonik berkaitan sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di negeri ini.

“Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri melalui inisiatif pejabat Exco Pembangunan Sosial Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan juga telah berusaha mengembalikan semula keceriaan Terminal Bas Komtar demi keselesaan pengunjung di sini terutamanya pengguna perkhidmatan bas awam.

“Hasil kerjasama strategik tersebut, Terminal Bas Komtar kini bertambah bersih serta ceria dan sekaligus juga telah mengurangkan masalah gelandangan termasuk pengedaran makanan secara percuma.

“Bagi keperluan penjagaan kanak-kanak dalam kalangan penjawat awam negeri ini, Kerajaan Negeri menubuhkan Taska D’Komtar 1.0 pada 2013, rentetan permintaan yang tinggi, Taska D’Komtar 2.0 pula dibuka pada Julai tahun lepas,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kawasan Dewan Undaganan Negeri (KADUN) Komtar di Dewan Kompleks Taman Harapan, Jalan SP Chelliah dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benji Ang Ming Quan dan Nordin Bakar; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jawa, Hng Siah Hooi serta Penghulu Komtar, Mohd. Hizer Omar.

Tambah Kon Yeow, pengoperasian Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama Pulau Pinang mulai Ogos 2022 di Tingkat 2 dan 3 bangunan Komtar juga telah berjaya menarik jutaan pengunjung untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

“Saya percaya, segala inisiatif yang dilaksanakan adalah bagi memastikan kawasan yang juga sebahagian daripada Tapak Warisan UNESCO George Town ini dapat terus berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat ekonomi dan juga lokasi pelancongan kepada negeri Pulau Pinang secara keseluruhan,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan projek transit aliran ringan (LRT) yang bakal melalui KADUN Komtar suatu hari nanti yang mana faedahnya dapat dinikmati oleh anak cucu kita kelak.

“Projek LRT ini yang akan bermula dari Bayan Lepas melalui Komtar dan terus ke Penang Sentral, ini sesuatu yang kita tidak jangka sebelum ini.

“Projek ini dijangka bermula penghujung tahun ini sebagaimana diumumkan atau awal tahun hadapan” katanya yang juga ADUN Padang Kota.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT