Ruang diskusi babit NGO senantiasa terbuka, kata Kon Yeow memuji aktiviti kebajikan UMA

Admin
60db5650 02db 4b0c 86c5 ffbdb2e84146 KETUA Menteri (dua dari kiri) turut menyampaikan sumbangan bantuan tunai Ramadan kepada salah seorang penerima terpilih dalam majlis berkaitan yang dianjurkan oleh NGO UMA di sini tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini akan terus membuka ruang diskusi kepada semua pertubuhan kerajaan (NGO) untuk mengadakan sebarang perbincangan berkaitan urusan, aktiviti serta isu yang memerlukan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa (Iftar) dan Penyampaian Sumbangan Kepada Asnaf, yang dianjurkan oleh Persatuan Muslim Bersatu (UMA) di sini pada 25 Mac 2024.

“Sesungguhnya, kekuatan dan idea di sebalik penubuhan sesebuah NGO ini adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan sosial rakyat secara keseluruhannya, di samping bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menjayakan Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai usaha-usaha NGO yang membantu mesyarakat setempat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sambil merakamkan penghargaan atas jemputan ke majlis berkaitan.

Selain itu, Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu turut berkongsi perancangan terbaru Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melancarkan Pelan Strategik PDC Tahun 2024 – 2028 serentak dengan Inisiatif Kelestarian dan GoDigital di ibu pejabat agensi negeri tersebut dekat Bayan Lepas pada pagi tadi.

Di bawah pelan strategik itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC menyatakan bahawa agensi negeri berkenaan dalam tempoh lima tahun sehingga 2028 berhasrat untuk melaksanakan pengambilan balik tanah tertentu seluas 3,000 ekar di sekitar bahagian Seberang Perai dengan melibatkan anggaran kos kira-kira RM3 bilion.

Tujuan pengambilan balik tanah-tanah tersebut, menurut beliau, bukan sahaja membolehkan PDC mewujudkan taman-taman perindustrian baharu, malah sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya berkualiti serta memastikan pertumbuhan berterusan ekonomi negeri dapat dicapai kelak.

Turut berucap, Presiden UMA, Mohamed Yunus Mohamed Yusoff.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; wakil Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan; Presiden Liga Muslim, Dato’ Haja Najmudeen Kader dan Presiden Central Muslim Society (CMS), Hassan Othman.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow turut menyaksikan Mohamed Yunus dan barisan pemimpin utama UMA menyampaikan sumbangan tunai bantuan Ramadan kepada asnaf terpilih serta orang kurang upaya (OKU).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS