SPAN tetapkan tarif baharu bagi penuhi empat kriteria penting, respons Ketua Menteri

87b1e8cc db38 4b38 8652 e57feecbf028 KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di George Town pada 28 April 2024.

GEORGE TOWN – Agensi Persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mempunyai mekanisme tersendiri dalam menetapkan tarif domestik baharu di Wilayah Persekutuan Labuan, Semenanjung Malaysia termasuk negeri Pulau Pinang baru-baru ini bagi memenuhi empat tujuan penting.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tarif dikutip daripada pengguna untuk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) membiayai perbelanjaan pengurusan (OpEx) serta perbelanjaan modal (CapEx), kos memulihara alam semula jadi serta menjana keuntungan yang wajar bagi firma operator air negeri berkenaan.

“Kalau tak cukup OpEx, (operasi) syarikat terganggu; jika tidak cukup hasil pendapatan untuk dilaburkan kembali sebagai perbelanjaan modal, maka paip bocor atau uzur yang perlu dinaik taraf tidak dapat dilakukan.

“Kos (untuk memelihara dan memulihara) alam semula jadi juga kita perlu laksanakan, dan yang terakhir adalah keuntungan.

“Jadi, apabila tarif ditentukan, kaedah penetapan tarif (yang dilakukan oleh SPAN) mestilah memenuhi semua objektif ini,” responsnya sambil memberitahu bahawa tarif air baharu Pulau Pinang adalah masih kekal kedua paling rendah di tanah air ini.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, tarif air domestik memang wajar dikaji setiap tiga tahun.

Namun, Kon Yeow memberitahu bahawa jalur penggunaan pertama bagi tarif air domestik negeri tidak pernah dinaik sejak tahun 1992, manakala jalur penggunaan kedua pula tidak dinaikkan sejak tahun 2015.

“Sepatutnya, (tarif air domestik) boleh dinaikkan setiap tiga tahun, (namun) kadang kala Pulau Pinang tidak kuatkuasakan atau (permohonan tidak) diluluskan dan sebagainya (berdasarkan mekanisme berkaitan ini).

“Kalau ikut mekanisme kenaikan tarif setiap tiga tahun, maka, ia tidak akan dilihat mendadak seperti sekarang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Penjelasan Kon Yeow selaku Pengerusi PBAPP itu adalah sebagai respons kepada syor beberapa ADUN Pulau Pinang dalam sidang media semalam supaya tarif air domestik negeri yang baharu dilaksanakan secara berperingkat agar tidak membebankan pengguna.

Sebagai rekod, kadar tarif domestik air sebelum ini ialah RM0.22 (jalur 1 : 0 – 20 meter padu); RM0.46 (jalur 2: 20 – 40 meter padu); RM0.68 ( jalur 3: 40 – 60 meter padu); RM1.17 (jalur 4: 60 – 200 meter padu); RM1.30 (jalur 5 : melebihi 200 meter padu) dan surcaj penjimatan air RM0.48 untuk melebihi 35 meter padu.

Bagi kadar tarif lama itu, caj minimum sebulan adalah RM2.50 atau RM5 setiap dua bulan.

Di bawah kadar baharu yang diselaraskan, surcaj penjimatan air telah dihapuskan yang mana kadarnya adalah RM0.55 untuk jalur 1 (0 – 20 meter padu), RM1.10 untuk jalur 2 (20 – 35 meter padu) dan RM2 untuk jalur 3 (melebihi 35 meter padu).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR