Sukan Ria Rakyat Sungai Burung muhibbah

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

ACARA dam haji gergasi yang mendapat sambutan yang menggalakkan terutama anak-anak muda pada penganjuran Sukan Ria Rakyat di sini baru-baru ini.
ACARA dam haji gergasi yang mendapat sambutan yang menggalakkan terutama anak-anak muda pada penganjuran Sukan Ria Rakyat di sini baru-baru ini.

BALIK PULAU – Jawatankuasa Qaryah Sungai Burung telah menganjurkan Sukan Ria Rakyat dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dalam usaha memupuk semangat kejiranan dan silaturahim dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Burung di sini baru-baru ini.

Program sehari yang diadakan di perkarangan Sekolah Agama Rakyat bersebelahan Masjid Sungai Burung itu mendapat sambutan di luar jangka.

“Alhamdulillah, tahniah kepada semua pihak kerana telah berjaya melaksanakan program ini yang bukan sahaja dapat mengumpul pelbagai lapisan masyarakat, malah, juga memupuk semangat kekitaan buat penduduk setempat.”

“Saya lihat semua peringkat usia datang memberi sokongan dan berseronok di sini, sungguh muhibbah dan meriah,” ujar Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail ketika merasmikan acara Sukan Ria Rakyat di sini.

Dalam pada itu, hadir sama ke acara tersebut Pengerusi Qaryah Sungai Burung, Zokiflee Ishak, yang turut teruja dan menyatakan rasa syukur kerana acara yang julung kali diadakan tersebut mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, kita akan jadikan ia acara tahun bagi penduduk di Sungai Burung”.

“Acara ini turut memberi ruang kepada penduduk Sungai Burung untuk mempromosikan produk-produk keluaran mereka (produk hasil Industri Kecil dan Sederhana – IKS) kepada bukan sahaja penduduk Sungai Burung, malah, pengunjung yang hadir pada hari tersebut,” ujar beliau yang turut menyatakan terima kasih kepada agensi kerajaan yang sudi mengambil bahagian dalam acara Sukan Ria Rakyat kali ini.

Sukan Ria Rakyat diserikan dengan acara sukaneka tradisi seperti anyaman sarung cempedak, acara boling tempurung kelapa dan dam gergasi selain acara mewarna bagi kanak-kanak dan peraduan teka kacang.