Tangani penyeludupan dadah, alu-alukan sebarang bentuk kerjasama – Kok Chin

whatsapp image 2024 04 19 at 17.47.21

GEORGE TOWN – Masih banyak usaha perlu dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani kes-kes penyeludupan dadah di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Dato’ Khaw Kok Chin dekat pejabat beliau di Komtar sebentar tadi.

“Kes-kes melibatkan dadah di Pulau Pinang dikatakan terkawal, namun masih banyak usaha perlu dilakukan untuk terus menangani penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini,” katanya dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am), Senior Asisten komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali dan Penolong Pengarah Narkotik (Urus Setia), Supritendan Chew Chee Lee.

Sementara itu, Kok Chin menyatakan bahawa PDRM telah mengenal pasti beberapa laluan utama yang digunakan oleh sindiket untuk menyeludup masuk dadah sintetik ke negeri ini.

“Dua jenis dadah yang banyak diseludup masuk ke negeri Pulau Pinang iaitu ganja dan syabu dengan kebanyakan kawasan yang menjadi tempat kegiatan dadah adalah jeti-jeti nelayan yang dibina secara haram.

“Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang aduan berkaitan dengan kes-kes pengedaran dadah, Kerajaan Negeri boleh terus berhubung dengan kami (Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik) untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Pada masa sama, Kok Chin turut mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan PDRM terutamanya dalam penganjuran program dan kempen kesedaran berkaitan dadah.

“Sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang memerlukan kepakaran daripada Bukit Aman, kami sedia untuk bekerjasama pada bila-bila masa sahaja,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya juga telah menubuhkan Seksretariat Nukleus Narkotik (SNN) di sempadan negara bagi memastikan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS