TYT berkenan ziarah keluarga Komander Muhammad Firdaus

ee610e1a bef5 4c4d b471 6875e3a94e90 TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan khas Yayasan Amal TYT Pulau Pinang kepada ayah dan isteri kepada Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli di kediaman mereka dekat Persiaran Pantai Jerejak di sini pada 25 April 2024.

PANTAI JEREJAK – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak petang ini berkenan menziarahi keluarga kepada Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, iaitu salah seorang mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dekat Lumut, Perak pada Selasa lepas.

Turut mengiringi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Rozali Mohamud; Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Azhan Md. Othman dan Panglima Laut Wilayah 3, Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa.

Hampir 30 minit Tun Ahmad Fuzi meluangkan masa melawat keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus di kediaman mereka dekat Persiaran Pantai Jerejak, Sungai Nibong di sini.

Pada majlis sama, Rozali menyampaikan sumbangan khas Yayasan Amal TYT Pulau Pinang berupa cek RM10,000 dan kotak makanan kepada bapa Allahyarham Muhammad Firdaus, Ramli Abd Hamid, 69.

Sementara, isteri kepada Allahyarham Muhammad Firdaus, Sofiyyah Sa’adon, 42, pula menerima sumbangan lain dengan jumlah keseluruhan RM30,000, termasuk daripada Pengerusi merangkap Pengarah Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), Dato’ Seri Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza (RM10,000) serta tiga ahli korporat lain.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang; dan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut meluangkan masa menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus serta menyampaikan sedikit sumbangan.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut memberitahu bahawa sumbangan bantuan lain kepada keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus akan dibincangkan pada peringkat Kerajaan Negeri kelak.

Selain itu, beliau yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyatakan harapan agar siasatan berhubung punca sebenar kejadian kemalangan udara membabitkan dua helikopter itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Difahamkan, Allahyarham Muhammad Firdaus, 44, Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, merupakan anak jati Pulau Pinang.

Beliau meninggalkan balu, yang merupakan pegawai farmasi di Hospital Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini selepas disolat dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja Ipoh, Perak petang semalam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR