Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
TANJUNG BUNGAH – Kira-kira 1.3 juta pengunjung meraikan sambutan Thaipusam Ke-229 di Kuil Arulmigu Thandayuthapani dekat Jalan Air Terjun, Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri menyumbang RM200,000 sebagai komitmen menghargai pengunjung termasuk pelancong asing sempena perayaan penganut Hindu itu.
“Kerajaan Negeri memang memberi sokongan penuh pada perkembangan semua agama mengikut keperluan masing-masing
dan sumbangan RM200,000 ini adalah tanda sokongan Kerajaan Negeri atas sambutan Thaipusam di Hilltop Temple ini.
“Sekarang, Pulau Pinang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan di rantau ini dan Hilltop Temple merupakan salah satu ikon tarikan pelancongan ke negeri ini, terutamanya pada musim perayaan,” katanya pada keraian tersebut di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Guan Eng juga turut menyeru rakyat berbilang kaum di negeri ini supaya bersatu-padu dalam mendepani rancangan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang dijadual berkuatkuasa pada 1 April depan.
“Tahun ini akan menjadi cabaran kepada semua rakyat tanpa mengira warna kulit atau agama kerana masing-masing akan dibebankan dengan GST, tetapi, Kerajaan Negeri berharap semua teguh bersatu membantah pelaksanaan GST oleh Kerajaan Pusat biar sampai berjaya,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut memuji para ahli Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang atas tadbir urus baik berhubung hal ehwal agama dan penganut Hindu di negeri ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang berucap pada majlis sama berkata, pihaknya mengesyorkan pemajuan sebuah keretapi kabel ke puncak Kuil Arulmigu Thandayuthapani di sini, sebagaimana di kawasan pelancongan Bukit Bendera suatu hari nanti.
“Pembinaan kenderaan ini dianggarkan memerlukan peruntukan kira-kira RM6.2 juta, yang akan membolehkan pengunjung lebih mudah naik ke puncak kuil ini suatu hari nanti,” ujar Ramasamy yang juga ADUN Perai.
Nada yang sama turut diucapkan Pengerusi Kuil Arulmigu Thandayuthapani, R. Subramaniam.
“Ini (Kuil Arulmigu Thandayuthapani) bukan sekadar kawasan keagamaan Hindu sahaja, bahkan, telahpun menjadi salah satu
ikon pelancongan antarabangsa yang menarik di negeri ini,” ujar Subramaniam sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan RM200,000 daripada Kerajaan Negeri.
Exco Pembangunan Pelancongan merangkap ADUN Batu Lancang, Law Heng Kiang, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, T. Jayabalan (ADUN Batu Uban), R.S.N. Rayer (ADUN Seri Delima), A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam), Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera) dan P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan) turut menyertai majlis keraian tersebut.
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia, bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.
Pada hari tersebut, penganut agama Hindu ada yang mengambil peluang untuk menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini.