GEORGE TOWN – Seramai 1.5 penganut agama Hindu dan pengunjung serta pelancong dijangka membanjiri negeri Pulau Pinang selama dua hari sehingga esok sempena sambutan Thaipusam.
Di kiri dan kanan jalan utama sepanjang Jalan Air Terjun menuju ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani pada petang ini menyaksikan sejumlah 169 ‘panthal’ didirikan oleh pelbagai pihak berkepentingan, iaitu kira-kira 10 hingga 12 ‘panthal’ tambahan didirikan berbanding musim perayaan sebelum ini.
Seusai melakukan jeyawara di sini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya berharap sambutan budaya tersebut berjalan lancar dengan semangat harmoni.
“Saya berharap perayaan Thaipusam ini akan memberkati semua penganut Hindu yang menunaikan kewajipan agama mereka.
“Saya juga berharap rakyat, juga para pelancong dapat hidup secara aman, acara (Thaipusam) ini dapat berjalan lancar tanpa sebarang insiden (yang tak diingini daripada berlaku),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam sidang media berkaitan di sini pada 10 Februari 2025.
Di samping itu, Kon Yeow turut berharap sekalian pengguna jalan raya supaya bersabar dengan sikap toleransi yang tinggi dalam mendepani kesesakan trafik di beberapa lokaliti tumpuan sepanjang musim perayaan Thaipusam pada kali ini.
Berucap sebelum itu, Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), R.S.N. Rayer menyatakan bahawa pihaknya berharap sekalian penganjur ‘panthal’ menyediakan makanan berasaskan sayur-sayuran sahaja kepada para pengunjung di sepanjang Jalan Air Terjun di sini.
Di samping itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata bahawa pihaknya turut menasihati para pengunjung supaya tidak memakai barang kemas demi mengelak risiko insiden yang tidak diingini daripada berlaku.
“Sambutan amat meriah, kita (PHEB) hanya ingin meminta semua pihak mematuhi adat resam berkaitan Thaipusam supaya tidak ada sebarang insiden tidak diingini daripada terjadi,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana meluangkan masa menyertai acara tradisi iaitu jeraya wara di sini tadi.
Dalam sidang media berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan memberitahu bahawa selama dua hari berlangsungnya sambutan Thaipusam, Majlis Pimpinan Negeri (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah kepimpinan Pengerusinya, Nurul Izzah Anwar turut menyediakan 10,000 pek makanan untuk diagihkan kepada para penganut Hindu dan pengunjung – selama dua hari perayaan tersebut di Jalan Air Terjun.
Turut serta, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Negeri Undangan Negeri (ADUN); Ahli-ahli Parlimen; para Ahli
Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & LIM MIN JUN (pelatih)