KONSEP minimalis dan estetik kian menjadi pilihan pengusaha kafe-kafe hipster kini, dan turut menjadi tumpuan generasi muda menikmati secawan kopi sambil bersantai dengan rakan-rakan serta ber’ootd (outfit of the day) bersama.
Pemilik kafe yang dikenali 1.618 Roastery, LOH JIUN DAR, 31, sempat berkongsi sedikit sebanyak latar belakang perniagaan yang diusahakan bersama-sama ahli keluarganya dalam satu sesi wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT baru-baru ini.
Menurut Jiun Dar, idea minimalis dan estetik tercetus apabila beliau menginginkan hiasan dalaman kafe yang berupa bar dan dapur terbuka (open bar and kitchen) bagi mencetus pengalaman interaktif kepada pelanggan.
“Bagi saya, konsep yang cuba diketengahkan ini berupaya membuat pelanggan melihat secara langsung penyediaan minuman dari kaunter bar dan penyediaan makanan dari kaunter ruangan dapur yang terbuka.
“(Dan) konsep ini juga mampu mewujudkan suasana yang lebih mesra dan mewujudkan hubungan yang lebih dekat antara pelanggan di samping menambah nilai dari segi pengalaman visual dan interaksi secara langsung,” ujarnya yang telah terlibat dalam perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) sejak tahun 2018 kepada Buletin Mutiara pada sesi wawancara yang diadakan pada 7 Oktober lalu.
Menyingkap detik awal mula berniaga, Jiun Dar hanya berniaga di gerai kecil lalu menambah baik perniagaannya sehingga mempunyai premis sendiri.
“Dulu saya berniaga minuman kopi secara kecil-kecilan di Cubo Park, Tanjong Tokong dan menjual minuman serendah RM5 sahaja.
“Setelah itu, saya telah berpindah ke Jelutong dan menyambung perniagaan di sana, cuma bezanya di sini (Jelutong) saya mencabar diri untuk menambah menu makanan, tidak lama kemudian negara kita ditimpa pandemik dan hanya membolehkan pelanggan untuk memesan makanan serta minuman secara bungkus.
“Kemudian, pada Jun tahun ini, saya bangkit kembali berniaga di kafe 1.618 Roastery dengan konsep dan idea yang berlainan serta dorongan ahli-ahli keluarga yang lain iaitu Loh Jiun Hee (abang), Loh Pei Yin dan Loh Pei Jen (kakak) serta Jason How Chee Kwang yang khusus di bahagian pemasaran kafe melalui media sosial,” jelasnya lanjut.
Menjawab mengenai maksud di sebalik nama kafe, Jiun Dar turut berkongsi 1.618 merupakan nisbah emas (golden ratio) yang sering digunakan dalam matematik.
“Nisbah emas sering digunakan dalam reka bentuk kerana ia dianggap bersifat estetik secara semula jadi serta mencipta keseimbangan dan keharmonian visual.
“Dalam istilah mudah, nisbah emas berlaku apabila nisbah di antara dua jumlah adalah sama dengan jumlah yang lebih besar kepada yang lebih kecil.
“Di samping itu, kafe ini sangat mengetengahkan nilai seni berbanding kafe yang sebelumnya, saya dan abang juga turut mengubah suai hiasan dalaman mengikut cita rasa kami berdua iaitu minimalis.
“Telah menjadi salah satu impian saya untuk menempatkan karya-karya seni pelukis terkemuka di aras dua kafe ini dan kemudian dijadikan pameran seni serta lokasi bagi acara yang bersesuaian kelak,” tambahnya yang juga merupakan seorang tukang kayu.
Menariknya, Jiun Dar turut menyifatkan kafenya istimewa kerana beliau memanggang biji kopi sendiri.
“Secara peribadinya, saya dan abang amat meminati kopi dan juga suka membuat percubaan pelbagai resepi kopi sebagai kejutan untuk pelanggan.
“Manakala pelanggan yang berkunjung ke sini juga ada yang mengetahui tentang kopi dan sering membuat permintaan seperti yang diingini.
“Istimewanya di sini, pelanggan gemar memesan minuman ‘cold brew orange’, yang sudah tentu mampu memberi kepuasan di tekak sejurus menghilangkan kehausan.
“Bukan itu sahaja, ‘rempah vongole linguine’ dan ‘zesty chicken taco’ antara menu ‘signature’ di kafe dan diakhiri dengan pencuci mulut ‘Tokyo burnt cheesecake’, dan semuanya amat lazat dan turut menyediakan makanan menggunakan produk-produk halal serta mesra Muslim,” kongsinya.
Tambah Jiun Dar, sudah tentu banyak cabaran yang perlu dihadapinya, ditambah pula memulakan perniagaan pada usia muda pastinya sukar.
“Saya memulakan perniagaan ini hanya kerana minat yang mendalam mengenai kopi, tanpa semangat dan kegigihan dalam diri mungkin saya akan goyah.
“Dorongan dari ahli keluarga juga amat bermakna apabila mereka juga berada di kafe untuk membantu antara satu sama lain apabila ada yang perlu bergegas ke mana-mana.
“Selain itu, persaingan juga agak sengit di kawasan George Town kerana banyak juga kafe yang terdapat di sini, akan tetapi bagi yang ingin mencuba suasana berlainan dan merasai biji kopi dipanggang sendiri boleh datang ke sini,” ulasnya yang merupakan pemegang Diploma Seni Kulinari.
Mengakhiri sesi wawancara, Jiun Dar turut menyatakan hasratnya untuk membuka satu lagi cawangan pada masa hadapan.
“Jika diberi kesempatan sudah tentu saya ingin mengembangkan lagi perniagaan dengan membuka sebuah lagi cawangan di Kuala Lumpur.
“Mungkin bukan dalam masa terdekat, saya akan memantau dahulu kafe di sini dan menambah baik elemen yang diperlukan, ditambah pula dengan penglibatan acara-acara yang mendatang, saya harap kafe 1.618 Roastery lebih dikenali,” ulasnya menutup bicara.