1.8 peratus kadar pengangguran suku pertama 2024 Pulau Pinang – TKM II

Admin
6cc1ea0a a303 455b 8cb2 90815e241716

GEORGE TOWN – Kadar pengangguran Pulau Pinang pada suku pertama tahun 2024 dicatatkan 1.8 peratus sementara pertumbuhan gaji sektor formal tahun ke tahun pula sebanyak 6.7 peratus.

Berdasarkan sumber Survei Tenaga Buruh, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo memberitahu ia menandakan keadaan pasaran buruh di negeri ini yang ketat serta belum mencapai tahap ‘kemeruapan’.

Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi berkenaan berkata demikian semasa sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 30 Mei 2024.

“Mengikut Survei Tenaga Buruh, sektor pembuatan Pulau Pinang mengupah seramai 303,900 pekerja pada tahun 2022, iaitu kenaikan sebanyak 1.6 peratus daripada tahun yang sebelumnya (2021: 299,200).

“Kenaikan ini sejajar dengan pertumbuhan sebanyak 2.0 peratus untuk penduduk bekerja di Pulau Pinang secara keseluruhan dalam tempoh yang sama,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat.

Berdasarkan sumber Job Market Insights terbitan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) pula, beliau memberitahu bahawa sektor pembuatan mencatat kekosongan jawatan yang tertinggi di Pulau Pinang sebanyak 1,745 pada suku tahun ketiga 2023, sesuku daripada jumlah kekosongan jawatan di Pulau Pinang (7,009).

“Namun demikian, kekosongan dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang mengalami pengurangan tahun ke tahun sebanyak 37 peratus.

“Seiring dengan itu, jawatan juruteknik dan jurutera tidak lagi tercatat dalam lima jawatan dengan nombor kekosongan yang tertinggi pada suku ketiga 2023.

“Pada suku ketiga tahun 2022 pula, juruteknik merupakan jawatan yang ketiga tertinggi dengan 100 kekosongan, manakala, jurutera merupakan jawatan yang kelima tertinggi (92),” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa di Pulau Pinang kini mempunyai sebanyak sebanyak 400 syarikat multinasional (MNC) dan lebih 6,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang beroperasi secara aktif.

Sehubungan itu, beliau berkata hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai hab perindustrian khususnya berkaitan aktiviti pemasangan semikonduktor, penyumberan luar dan ujian (OSAT) kian kukuh serta memberi peluang kepada pencari pekerjaan terutama dalam kalangan anak negeri.

 

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB