10 ahli Exco Pulau Pinang angkat sumpah terimaan jawatan

GEORGE TOWN – Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Pulau Pinang mengangkat sumpah terimaan jawatan hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dekat Dewan Sri Pinang di sini.

Hadir sama pada majlis istiadat tersebut ialah isteri kepada TYT, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, YBhg. Puan Tan Lean Kee; mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor serta Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri turut hadir.

Penggal baharu ini iaitu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 memperlihatkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menampilkan seramai lapan muka baru daripada 11 Ahli Exco yang dilantik.

Ini menyaksikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota akan mengetuai portfolio Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

ADUN Batu Maung, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan akan mengetuai portfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.

Sementara itu, ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Ketua Menteri II serta akan mengetuai portfolio Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.

Pada sidang media selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa penyusunan portfolio bagi setiap Exco adalah selari dengan agenda gagasan Visi Penang2030 yang akan dilaksana serta diaplikasikan dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Saya berharap dengan pasukan baharu ini kita dapat meneruskan apa yang kita sudah lakukan tetapi apa yang paling penting adalah kita akan membuat penilaian semula berdasarkan kepada isu-isu yang dibangkitkan sepanjang kempen pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

Mengulas mengenai rasional pemilihan ahli-ahli Exco, Kon Yeow memberitahu bahawa ia dinilai berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh part-parti komponen dalam Pakatan Harapan dan parti gabungan Barisan Nasional (BN).

“Bagi PKR, ia sudah jelas apabila hanya dua orang sahaja wakil dari keturunan Melayu yang memenangi kerusi, bagi DAP pula keutamaan diberi kepada ADUN yang telah berkhidmat selama dua atau tiga penggal.

“Sementara itu, wakil daripada BN adalah berdasarkan nama calon yang dikemukakan oleh parti mereka dan kita pertimbangkan cadangan tersebut.

“Bagi Parti Amanah Negara (Amanah) pula, PH juga ada mengemukakan (calon Exco) tetapi kita akan mencadangkan untuk memperuntukkan kerusi Timbalan Speaker kepada wakil dari Amanah,” ujarnya.

Berikut merupakan senarai lengkap ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang:-

  • Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow (Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi)
  • Timbalan Ketua Menteri I, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid (Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat)
  • Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo (Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi)
  • ADUN Sungai Acheh, Rashidi Zinol (Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar)
  • ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari (Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital)
  • ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai (Pelancongan dan Ekonomi Kreatif)
  • ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim (Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam)
  • ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye (Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa)
  • ADUN Padang Lalang, Gooi Zi Sen (Belia, Sukan dan Kesihatan)
  • ADUN Perai, Seri S. Sundarajoo (Perumahan dan Alam Sekitar)
  • ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol (Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi)

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & DARWINA MOHD. DAUD
Video : SIEW CHIA EN