10 daripada 116 kontena sisa plastik import dihantar pulang ke negara asal

GEORGE TOWN – Sebanyak 10 daripada 116 kontena yang mengandungi sisa plastik import disita dan dihantar pulang ke negara asal melalui pihak berkuasa pelabuhan pada 20 Ogos lalu.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, baki 100 kontena lagi diserahkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) kepada Jabatan Alam Sekitar pada 22 Ogos lalu.

“Di Pulau Pinang, 116 kontena yang mengandungi sisa plastik telah disita dan dilucut hak oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) setelah tidak ada syarikat tampil membuat pengesahan selepas tamat tempoh diberikan.

“Susulan itu, pada 29 Julai lalu, JPSPN telah mengarahkan pihak berkuasa pelabuhan supaya menghantar pulang kontena ke negara asal.

“Urusan penghantaran pulang kontena-kontena ini ke negara asal adalah mengikut prosedur Konvensyen Basel selaras dengan arahan daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sebelum ini,” ujarnya dalam Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang dekat sini, pagi ini.

Boon Poh berkata, Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) melaporkan bahawa masih terdapat 255 kontena sisa plastik import ditahan dekat Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) dan pusat tahanan Kastam sehingga 30 September lalu.

“Jumlah 130 kontena yang belum mengisi borang K1 akan diserahkan kepada JPSPN untuk tindakan selanjutnya manakala 125 lagi yang mengisytihar borang K1 dan didapati tidak mempunyai Lesen Import (AP) akan dikompaun dan dilucut hak oleh JKDM.

“Kontena-kontena ini akan dipindah kepada pusat tahanan Kastam sementara menunggu tindakan selanjutnya.

“Kontena sisa plastik yang dilaporkan oleh PPSB adalah kes berlainan dan tidak termasuk dalam kes 116 kontena terdahulu yang disita untuk tindakan dihantar pulang,” jelasnya.

Pada 30 Mei 2019, JKDM Negeri Pulau Pinang mendedahkan terdapat 265 kontena yang mengandungi sisa sampah plastik telah dibawa masuk ke negeri ini dan tersadai di Terminal NBCT sejak Januari lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail berkata, sebanyak 149 daripada kontena itu diikrarkan sebagai barangan kitar semula manakala bakinya masih belum di ikrar dan tidak memiliki AP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI