10 kawah bubur lambuk pelbagai resepi beri ruang ukhwah silaturrahim

KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Reezal Merican Naina Merican (kiri sekali) dan Shariful Azhar Othman (tiga dari kiri) menyantuni salah satu unit masak kawah bubur lambuk perkarangan Sekolah Rendah Agama Daeratul Ma’arifil Wataniah, Kepala Batas di sini pada 15 April 2023.

BERTAM – Program penduduk lokal bergotong-royong memasak 10 kawah bubur lambuk dengan resepi berbeza di perkarangan Sekolah Rendah Agama Daeratul Ma’arifil Wataniah, Kepala Batas diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini pada 15 April 2023.

Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican semasa berucap merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow termasuk Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri kerana memilih kawasan sekolah yang berhampiran dengan Masjid Al-Jamiul Badawi berkaitan sebagai tempat penganjuran Program Goyong-Royong Sedia Bubur Lambuk pagi ini.

“Komuniti di sini amat dekat.

“Mewakili penduduk setempat, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri dan Bahagian Penerangan (Kerajaan Negeri) Pejabat Ketua Menteri kerana menganjurkan program sebegini bermakna sempena bulan Ramadan.

“Di samping memberi ruang ukhuwah silaturahim, program sebegini juga memberi ruang kepada pihak Kerajaan Negeri untuk lebih dekat dengan komuniti setempat,” jelasnya yang juga Penasihat Jawatankuasa Kariah Masjid Jamiul Badawi Kepala Batas.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid berkenaan, Datuk Shariful Azhar Othman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam turut berucap pada majlis tersebut.

Berucap selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa pentadbirannya mengakui bahawa Masjid Jamiul Badawi termasuk Sekolah Rendah Agama Daeratul Ma’arifil Wataniah memang dikenali sebagai penyatuan kemuniti lokal sejak kira-kira 100 tahun lampau lagi.

“Upacara penyediaan bubur lambuk sempena menyambut Ramadan di Masjid Jamiul Badawi Kepala Batas yang memang menjadi pusat berpengaruh bagi komuniti di sini sejak berpuluh-puluh (tahun) atau mungkin lebih 100 tahun juga menjadi perpaduan melalui program-program yang dianjurkan sepanjang tahun semasa ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkenaan.

Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN, PPK) Permatang Berangan, Che Omar Abdullah turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS