GEORGE TOWN – Projek-projek pembangunan Pulau Pinang yang bakal dimasukkan semula cadangannya dalam Bajet 2023 oleh Kerajaan Persekutuan bukan sahaja penting, malah sekali gus bakal membawa limpahan kemewahan ekonomi kepada semua lapisan rakyat pada tempoh endemik COVID-19 kini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Tanjong dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Komtar di Kompleks Perumahan Taman Harapan, SP Chelliah dekat sini pada 3 Februari 2023.
Menurut Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, beliau dalam dwi pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada petang tadi turut menegaskan mengenai keperluan 10 ‘projek keutamaan’ tersebut bagi meneruskan agenda pembangunan negeri serta proses pemulihan semula ekonomi rakyat di Pulau Pinang.
“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) telah menegaskan permohonan kita, harap dapat pertimbangan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan projek-projek (keutamaan) ini adalah penting untuk meneruskan pembangunan negeri dan ekonomi Pulau Pinang.
“Ini, demi memastikan kita (Pulau Pinang) dapat terus menjana pembangunan negara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Buletin Mutiara difahamkan, 10 ‘projek keutamaan’ yang dimaksudkan Kon Yeow itu adalah Pelan Pembangunan Fizikal Pulau Aman; Penang Green Connectors dan North Seafront Programme; pembangunan semula Dewan Sri Pinang (DSP); menaik taraf Bangunan Astaka Bukit Bendera; pembangunan dan restorasi bangunan warisan ‘Gate House (Bel Retiro) sebagai Penang Hill Gallery @ Gate House’ yang berkonsepkan edupelancongan; ‘Management Industrial Land’ untuk Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP).
Selain itu, baki ‘projek keutamaan’ lain turut merangkumi projek PPR Ujong Batu di atas sebahagian tanah Kerajaan; pembinaan jalan bawah (underpass) untuk menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma di persimpangan Jalan Mount Erskine/Jalan Gottlieb/Jalan Burma/Jalan Bagan Jermal, Seksyen A; Jalan Bawah; Rancangan Tebatan Banjir di Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang bagi mengurangkan risiko banjir dan naik taraf Sistem Private Autimatic Branch Exchange (PABX) Hospital Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying yang Timbalan Menteri Pendidikan; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen turut berucap pada majlis jamuan makan malam yang diadakan serentak dengan persembahan budaya serta muzikal tradisional Cina berkaitan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : MOHAMAD AMIR IRSYAD