10 projek utama untuk pertimbangan di bawah RMKe-13

img 20250319 wa0025

GEORGE TOWN – Sebanyak 10 projek pembangunan yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri semasa Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pulau Pinang semalam.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pada mesyuarat berkaitan, Kerajaan Negeri berpeluang membentangkan senarai projek yang menjadi keutamaan untuk dipertimbangkan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) Tahun 2026.

 

“Mesyuarat semalam bukanlah mesyuarat yang mana Perdana Menteri perlu membuat keputusan (mengenai sesuatu perkara), sebaliknya hanya mendengar senarai projek yang menjadi keutamaan untuk negeri Pulau Pinang.

 

Senarai projek-projek ini adalah untuk pertimbangan kementerian-kementerian berkaitan bagi disenaraikan dalam RMKe-13 setelah penilaian dibuat berdasarkan keutamaan negeri.

 

“Ini merupakan praktis yang mana setiap negeri mempunyai senarai projek yang menjadi keutamaan, namun ia perlu diteliti oleh kementerian berdasarkan kedudukan kewangan semasa Kerajaan Persekutuan.

 

“Perdana Menteri juga menegaskan bahawa tidak semua projek dalam senarai keutamaan tersebut akan diluluskan, sebaliknya ia akan dinilai dan hanya projek yang dianggap wajar akan diluluskan (pelaksanaannya dalam RMKe-13) nanti,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan pemberita pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 19 Mac 2025.

 

img 20250319 wa0023
KETUA Menteri bersama-sama S. Sundarajoo (kiri) dan Jason H’ng Mooi Lye (kanan) pada sidang media di sini.

 

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo.

 

Dalam mesyuarat sama, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau turut mengambil kesempatan tersebut untuk memaklumkan kepada Perdana Menteri berhubung perkembangan semasa projek-projek pembangunan negeri di bawah RMKe-12.

 

“Perdana Menteri mahu semua projek di bawah RMKe-12 dapat dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan, dan bagi Pulau Pinang, terdapat dua projek iaitu pembangunan semula Dewan Sri Pinang dan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua.

 

“Bagi pembangunan semula Dewan Sri Pinang, kini pada peringkat mesyuarat teknikal yang mana pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyediakan pelan konsep pembangunan untuk dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

 

Keduanya adalah projek lebuh raya bertingkat yang mana pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan projek berkenaan pada suku keempat tahun ini.

 

“Malah, Zairil juga telah mengadakan sidang media berhubung perkara ini baru-baru ini,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & ARKIB BULETIN MUTIARA