10 set komputer baru untuk sekolah agama

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

ANTARA set komputer baru yang disumbangkan Kerajaan Negeri kepada SMAAI di sini baru-baru ini.
ANTARA set komputer baru yang disumbangkan Kerajaan Negeri kepada SMAAI di sini baru-baru ini.

BUKIT MERTAJAM – Permohonan bagi mendapatkan 10 set komputer baru Sekolah Menengah Agama Al-Ahmadiah Al-Ijtima’iah (SMAAI) daripada Kerajaan Negeri akhirnya termakbul walaupun ia baru sahaja dihantar pada penghujung tahun lalu.

Pengetua SMAAI, Haji Hamzah Haji Jaafar berkata, kali terakhir SMAAI menerima bantuan peralatan komputer adalah pada tahun 2007 iaitu sebanyak empat unit daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

“Walau bagaimanapun, ekoran kemasukan pelajar yang semakin bertambah dan penggunaan yang lebih kerap, set komputer sedia ada telah usang dan banyak rosak.

“Sebelum membuat surat permohonan kepada Kerajaan Negeri, kita (SMAAI) lazimnya sudah pohon kat Kementerian, tapi bantuan komputer kepada sekolah-sekolah adalah amat terhad.

“Alhamdulillah, syukur sangat Kerajaan Negeri Pulau Pinang bantu, walaupun baru sahaja buat permohonan hujung tahun lalu,’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

SARKomputer1

Pada penghujung tahun lalu, pihak SMAAI telah membuat permohonan bagi mendapatkan 10 set komputer baru daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Lim Guan Eng melalui Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Seberang Jaya, Abdul Jalil Che Ros.

Melihat kepentingan tersebut, Ketua Menteri telah meluluskan permohonan tersebut dan set-set komputer telah dihantar untuk kegunaan 250 pelajar dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Enam sekolah pada awal tahun ini.

Dalam pada itu, Abdul Jalil yang turut serta dalam sesi lawatan khas tersebut turut menyatakan bahawa secara umumnya, sekolah-sekolah agama kurang mendapat pendedahan teknologi maklumat (ICT).

“Jadi dengan sumbangan sebegini, pengetahuan tentang dunia ICT dapat diterapkan dalam kalangan para pelajar sekolah-sekolah agama di Pulau Pinang,” ujarnya.

Selain 250 pelajar, SMAAI memiliki 27 tenaga pengajar. SMAAI yang ditubuhkan pada tahun 2000 kini dalam usaha mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran kondusif yang bukan sahaja berteraskan subjek-subjek diniyah, malah, turut memberi penekanan kepada subjek-subjek akademik termasuk ICT.