10 siswi, 110 pelajar jayakan kempen Hijau Penaga

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENAGA – Lebih 10 mahasiswi Universiti Sains Malaysia (USM) serta 110 pelajar sekolah rendah sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga menyertai program kempen memulihara alam sekitar kendalian Penang Green Council (PGC) baru-baru ini.

Program itu dirasmikan sendiri oleh mantan Timbalan Ketua Menteri I yang kini merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Surayahani Mohd. Yusof, 27, calon sarjana perancangan bandar di USM semasa ditemui melahirkan rasa syukur kerana dipilih menjadi fasilitator program tersebut.

“Mula-mula sekadar mengisi masa lapang saja. Lama-kelamaan, program sukarelawan macam ini timbul kesedaran pula, ujar Surayahani di Dewan JKKK Penaga, di sini.

Nada yang sama turut diluahkan Ayufarhana Arifin, 25, calon sarjana perancangan bandar, sama seperti Surayahani.

“Latar belakang saya ini menyebabkan saya minat dengan alam sekitar. Sebelum ini pun, saya sudah menyertai program-program sebegini seperti sifar sampah, sejam tanpa tenaga elektrik dan sebagainya di USM,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Sebelum pada itu, Mansor berkata, inisiatif PGC dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat mengadakan program kesedaran membabitkan pelajar sekolah rendah cukup bermakna bagi Kerajaan Negeri.

Ini kerana katanya, kempen ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’ yang dilancarkan Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lepas mampu meniup kesedaran kepada waris-waris pelajar berkenaan.

“Program ini khususnya untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar dari sekolah rendah. Mereka ini dipilih daripada JKKK.

“Penyertaanya bagus sebab PGC sasar 100 orang sahaja, tetapi, yang datang lebih.

“Saya lihat, ada waris turut serta dalam beberapa aktviti pagi ini kerana meneman anak mereka,” ujar beliau semasa merasmikan program itu.

Mantan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, Rosidi Hussain turut serta dalam program tersebut.

Aktiviti menanam pokok redup serta majlis penerangan mengenai pripenting menjaga alam sekitar antara aktiviti menarik dalam program sehari sepetang itu.