100 kanak-kanak sertai khatan perdana, percuma

BAYAN LEPAS – Seramai 100 kanak-kanak menyertai Program Khatan Perdana 2023 KADUN Bayan Lepas yang diadakan di Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar pada 18 Februari 2023.

 

Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz itu, dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu dengan diiringi Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Roslan Ahmad.

 

AIMAN Athirah Sabu (bertudung) dan Dr. Roslan Ahmad (bersongkok) turut menyertai kanak-kanak terlibat menaiki lori keliling kampung.

 

Ketika ditemui, Azrul Mahathir berkata bahawa sudah menjadi tradisi apabila tibanya musim cuti persekolahan, pasti akan dimanfaatkan dengan ibadah khatan atau ‘bersunat’. 

 

Sesuai dengan trend ‘Rahmah’ kini dalam menangani peningkatan kos sara hidup, saya mengambil inisiatif dengan menawarkan khidmat berkhatan kepada 100 kanak-kanak secara percuma.

 

“Secara tidak langsung, usaha ini dapatlah meringankan perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa terutama mereka yang mempunyai anak ramai dalam menunaikan tuntutan agama di samping dapat menyantuni penduduk di kawasan ini,” ujarnya.

 

Terdahulu, program yang bermula seawal 7 pagi itu dilakukan dengan membawa kanak-kanak terlibat menaiki lori dan berarak di sekitar kawasan Sungai Batu dan Teluk Kumbar serta diberikan sagu hati ‘duit sunat’ bagi menceriakan mereka.

AZRUL Mahathir Aziz (bersongkok) membantu salah seorang kanak-kanak turun daripada lori selepas berarak mengeliling kampung.

Usai perarakan, kanak-kanak dimandikan dengan semburan air oleh anggota dari pasukan bomba dan penyelamat sebelum proses khatan bermula. Turut menyerikan acara, paluan kompang daripada Biro Pemuda Masjid Ridwaniah Sungai Batu.

 

Difahamkan, program ini mendapat sokongan penuh Pengerusi Kariah Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Mohd. Sazali Mahmad Salleh serta seluruh jawatankuasa; Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Batu Laut; Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Bayan Lepas; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan pasukan mudim.

PESERTA Program Khatan Perdana 2023 KADUN Bayan Lepas turut menerima ‘duit sunat’ sebagai sagu hati.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADUN