100 peratus pengecualian sewa lot komersial PBBPP di Bukit Bendera, Mac hingga Mei – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Semua penyewa lot komersial milik Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan mendapat pengecualian bayaran pada kadar 100 peratus bagi bulan Mac, April dan Mei, selain diskaun sebanyak 50 peratus bagi bulan Januari dan Februari.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri dan PBBPP berharap insentif tersebut dapat membantu pihak penyewa mengharungi pandemik COVID-19 yang telah masuk Fasa Empat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 4) sehingga 12 Mei depan.

Menurut Kon Yeow yang juga Pengerusi PBBPP, inisiatif yang diambil itu diharapkan dapat membantu para peniaga untuk memulihkan perniagaan mereka termasuk melindungi mata pencarian rakyat.

“Usaha ini adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, serta menjamin pekerjaan kepada rakyat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) dalam suatu kenyataan bertulis yang dikeluarkan PBBPP pada 6 Mei 2020.

Difahamkan, sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas, semua aktiviti perniagaan di kawasan peranginan Bukit Bendera turut ditutup sepenuhnya demi memastikan usaha memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19 berjaya di negeri ini.

Pun begitu, Kon Yeow baru-baru ini mengumumkan Pulau Pinang akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan membenarkan operasi ekonomi bagi sektor-sektor tambahan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kerajaan Pusat, secara berperingkat mulai 8 Mei 2020.

Teks dan Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB