1,000 penduduk Pulau Pinang mula jalani saringan massa

Admin

GEORGE TOWN – Kira-kira 1,000 penduduk di negeri ini mula menjalani ujian saringan di bawah program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) dekat Stadium Bandaraya hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa saringan komuniti secara bersasar tersebut adalah sebahagian daripada langkah pemerkasaan kesihatan awam dalam menangani penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Choe Kon Yeow bersama-sama Jagdeep Singh Deo meninjau perjalanan PSC-19 dekat Stadium Bandaraya, pagi tadi.

“Tujuan saringan bersasar ini adalah bagi kenal pasti dan mengasingkan individu pembawa COVID-19, seterusnya dapat mengawal perebakan virus ini.

“Objektif ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menurunkan kes COVID-19 di negeri ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti.

“Malah, pelaksanaan PSC-19 juga penting bagi menentukan nilai ambang yang perlu dicapai oleh negeri Pulau Pinang iaitu purata sebanyak 217 kes selama tujuh hari,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan program tersebut di sini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Menjawab pertikaian sesetengah pihak berkenaan program PSC-19, Kon Yeow menegaskan bahawa ujian saringan masih perlu dijalankan untuk mengenal pasti kes positif meskipun Pulau Pinang telah memasuki Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Di samping itu, kita berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mewajibkan ujian kendiri pada masa-masa akan datang apabila ‘kit ujian kendiri’ telah masuk ke pasaran negara ini.

Petugas kesihatan sedang melakukan pemeriksaan sebelum ujian saringan dilakukan.

Dalam pada itu, Jagdeep memaklumkan bahawa sehingga pagi tadi, hampir 8,000 pendaftaran diterima melibatkan 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini bagi program tersebut.

 

“Hari ini, kita mulakan dengan enam KADUN iaitu Sungai Pinang, Padang Kota, Datok Keramat, Pulau Tikus, Batu Lancang serta Pengkalan Kota dan kita akan teruskan lagi selepas ini.

“(Dan) pada 10 Julai pula, akan dijalankan di Seberang Perai melibatkan KADUN Perai, Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir manakala pada 11 Julai 2021 diteruskan ke KADUN Sungai Dua dan Permatang Berangan.

“Program ini djalankan dalam dua fasa, dan kita berharap agar fasa satu akan berakhir pada 30 Julai ini sebelum fasa kedua bermula kerana kita mahu 40 KADUN selesai disaring dalam msa 40 hari,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : CHAN KOK KUAN