Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BUTTERWORTH – Rumah Terbuka Sempena Tahun Baru Cina 2012 anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini mencipta sejarahnya tersendiri kerana dihadiri lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum.
Padang Merdeka berhampiran Bangunan Dato’ Haji Abdullah Ahmad Badawi, di sini, menjadi saksi kemeriahan malam penuh budaya itu dengan acara tarian naga air serta tembakan mega bunga api ke udara.
Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman Abbas, Yang diPertua Negeri dan isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Majimor Sharif menjadi tetamu kehormat utama di majlis penuh budaya itu.
Selain Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng serta isteri, dif kehormat lain yang hadir antaranya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Abdul Halim Hussain, Datuk Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri 1) serta isteri, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri 2) serta isteri dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Juara badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei turut menyertai keraian mega tersebut. Beliau menerima sumbangan RM30,000 daripada Kerajaan Negeri atas rekod kejayaannya mengharumkan nama negara di persada dunia.
Tarian patung klasik masyarakat Cina dan Opera Cina antara acara menarik yang mencuri perhatian pengunjung yang hadir. Konsert kebudayaan turut diadakan pada malam tersebut.
Guan Eng ketika menyampaikan ucapan alu-aluan berkata, kunjungan rakyat berbilang kaum pada malam tersebut sebenarnya mencerminkan rakyat Malaysia yang sebenar.
“Pada malam ini, kita dapat lihat orang Melayu, orang India, orang Sikh, pelancong-pelancong walaupun Tahun Baru Cina ini adalah perayaan budaya orang Cina.
“Inilah Pulau Pinang, negeri yang harmoni dengan pelbagai etnik, adat resam, budaya dan kepercayaan.