10,000 udang harimau dilepaskan di perairan Pulau Betong

Admin
dsc07020 2

PULAU BETONG – Kumpulan pertama 10,000 ekor udang harimau jenis ‘penaeus monodon’ dilepaskan di perairan Pulau Betong dalam usaha memulihara biodiversiti marin.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastucture Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Dato’ Seri Farizan Darus berkata, pelepasan udang harimau tersebut menandakan pencapaian penting dalam inisiatif Pelan Induk Pengimbangan Ekologi Penang South Island (PEOM).

 

Program ini bertujuan memperkayakan sumber perikanan dan mengukuhkan usaha pemuliharaan marin di perairan selatan Pulau Pinang.

 

“Program ini juga merupakan inisiatif perintis untuk menilai keberkesanan usaha pelepasan stok ikan dan udang di selatan Pulau Pinang yang mana hasil kajian ini akan memberi panduan berharga bagi usaha pemuliharaan pada masa hadapan,” ujarnya melalui kenyataan media bertarikh 26 Februari 2025.

 

Mengulas lanjut, Farizan turut menzahirkan penghargaan kepada Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) atas kepakaran dalam membimbing inisiatif ini.

 

Program ini juga adalah manifestasi terhadap dedikasi Allahyarham Profesor Datuk Dr. Zulfigar Yasin yang memainkan peranan besar dalam pemulihan ekosistem marin dan membuka jalan pada usaha ini.

 

“Beliau menerajui kajian di bawah PEOM sehinggalah pemergiannya secara mengejut pada 3 Februari lalu, meskipun beliau tidak lagi bersama kita, kita akan teruskan legasi beliau,” katanya.

 

dsc06613
FARIZAN Darus (baris kedua, enam dari kanan) dan Aileen Tan (baris kedua, tujuh dari kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama semua pihak berkepentingan terlibat pada program berkaitan baru-baru ini.

Difahamkan, pelepasan kumpulan pertama pada 24 Februari lalu adalah sebahagian daripada 42,000 ekor udang harimau dan 25,000 ikan siakap jenis ‘lates calcarifer’ yang bakal dilepaskan secara berperingkat di sekitar perairan Pulau Betong dan Pulau Kendi dalam tempoh lima bulan akan datang.

 

Sementara itu, Pengarah CEMACS, Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan berkata, pemilihan spesies dibuat berdasarkan kriteria yang ketat bagi memastikan keseimbangan ekologi dan kelestarian jangka panjang.

 

Kita hanya memperkenalkan spesies asal yang mempunyai kadar kelangsungan hidup tinggi bagi memastikan usaha pelepasan ini tidak mengganggu ekosistem sedia ada.

 

“Pemantauan berterusan akan dijalankan untuk menilai keberkesanan inisiatif yang berpotensi menjadi asas pada usaha pemuliharaan yang lebih meluas pada masa hadapan,” jelasnya.

 

Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Silicon Island Development Sdn. Bhd., Azmi Mohamad serta wakil daripada pejabat Timbalan Ketua Menteri I dan Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi antara yang turut serta dalam program berkaitan.

 

Turut hadir, wakil daripada Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang; Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung; Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang; Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pulau Pinang dan Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya.