1,036 penerima darjah kebesaran Pulau Pinang tahun ini

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 1,036 individu disenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan ulang tahun Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, yang ke-72 pada 10 Julai lalu.

Dalam senarai penerima yang akan diwartakan pada 22 Julai 2021, isteri kepada TYT, Toh Puan Khadijah Mohd. Noor merupakan penerima tunggal darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama.

Selain itu, Ahmad Fuzi turut perkenan untuk menganugerahkan dua Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad yang juga Pengerusi Western Digital (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Dr. Syed Hussian Syed Junid serta mantan Pengerusi Kumpulan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Law Choo Kiang dan Abdul Razak Jaafar ketika mengadakan sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Razak Jaafar; mantan Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Sahabudin Abd. Manan; Roman Catholic Bishop Pulau Pinang, Dato’ M.J.F Sebastian Francis; Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, Dato’ Tan Gin Soon dan Pengarah Pengurusan Epic Valley Holdings Sdn. Bhd., Mejar (Kehormat) Prof. Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Fng Ah Seng antara 15 individu penerima anugerah Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Sementara itu, seramai 14 individu menerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Dato’ iaitu Dato’ Bahurdin Abdul Kader; Dato’ A.S.S. Balakrishnan Shanmugam; Profesor Emeritus Dato’ Dr. Chatar Singh; Profesor Dato’ Dr. S. Sellappan; Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Dato’ Dr. H. Fitjerald; Lt. Jen. Dato’ Yazid Arshad; Dato’ R. Muralidaran; Dato’ Ng Hooi Lai; Dato’ Ng Joon Tong @ Ng Joo Tong; Dato’ Ong Seng Huat; Dato’ Yeoh Cheng Bah; Dato’ Zailani Hashim dan Lok Bah Bah @ Loh Yeow Boo.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Pengerusi One Hope Charity & Welfare Berhad, Chua Sui Hau; Pengerusi Malaysian Invention and Design Society (MINDS) Bahagian Seberang Perai, Dr. Cheah Cheng Huat; Ahli Dewan Rakyat, Senator Ismail Yusop; ahli perniagaan, usahawan, aktivis dan penulis, Dr. Anas Alam Faizli pula antara 116 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.

Selebihnya, seramai 66 individu dianugerahkan Darjah Johan Negeri (D.J.N); Bintang Cemerlang Negeri (42); Pingat Kelakuan Terpuji (195); Pingat Jasa Kebaktian (287); Pingat Jasa Masyarakat (274); dan Pingat Bakti Setia (24).

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang berkata bahawa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.

“Pada masa sekarang ini, negeri Pulau Pinang masih dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dijangka memasuki Fasa 3 pada penghujung Ogos bergantung kepada tiga kriteria yang telah ditetapkan.

“Sekiranya Pulau Pinang berjaya masuk ke Fasa 3 dan dibenar menganjurkan majlis dan perhimpunan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), maka kita akan merancang untuk adakan majlis istiadat bergantung kepada keadaan semasa COVID-19,” ujarnya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Ketua Penolong Setiauasaha Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol, Mohd. Roshidi Azmi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI